29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Cabuli tapak kubur Orang Asli – Syarikat udang diarah bayar ganti rugi

    Shopee Sale

    Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan supaya tujuh penduduk Kampung Orang Asli Batu 20, Pekan, Pahang menerima ganti rugi am sebanyak RM20,000 setiap seorang atas kemusnahan kubur nenek moyang mereka.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng membenarkan rayuan penduduk kampung itu dan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

    Keputusan itu juga sekali gus membatalkan penghakiman Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Agrobest (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam industri penternakan udang, dan dua pekerjanya.

    Agrobest ialah anak syarikat milik penuh ABSF International Group (M) Sdn Bhd yang memeterai perjanjian pajakan dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang selama 30 tahun untuk membangunkan kolam ternakan udang laut di tanah terbabit.

    Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Lee berkata Mahkamah Tinggi “berada pada kedudukan yang sempurna” untuk menilai keterangan yang dikemukakan dan menentukan bahawa penduduk kampung telah membuktikan hubungan kekeluargaan dengan si mati di tapak perkuburan itu dan batu nisan di situ.

    Hakim berkenaan berkata kemusnahan dan pencabulan terhadap kubur dan batu nisan ini melanggar hak pemilikan penduduk kampung, sekali gus melayakkan mereka menerima ganti rugi sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

    Lee berkata Mahkamah Tinggi juga telah menilai dengan sewajarnya bukti lisan dan membuat kesimpulan dengan betul bahawa penduduk kampung telah membuktikan hubungan kekeluargaan dengan si mati di tapak perkuburan yang dimusnahkan itu.

    Beliau berkata komuniti Orang Asli terus mempunyai hak untuk menggunakan dan menikmati tanah pusaka mereka selagi hak itu tidak dilupuskan secara sah melalui bayaran pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

    Lee berkata penduduk kampung diarahkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengosongkan tanah tersebut dan berpindah bagi memberikan laluan kepada pembangunan projek penternakan udang berskala besar, tanpa menerima sebarang pampasan.

    MENARIK:  Tiada pihak arah SPRM siasat Ismail Sabri, kata Azam

    Tujuh penduduk kampung berkenaan — Rosli Jedut, Atan Baro, Melah Hamid, Awang Bako, Esah Wir, Kasim Awang, dan Majib Kasim — memfailkan saman pada 2019 dengan mendakwa berlaku pencerobohan dan kemusnahan tapak perkuburan di Kampung Orang Asli Batu 20, Mukim Bebar, Pekan, Pahang.

    Pada 11 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan bahawa penduduk kampung terlibat berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Agrobest dan mengarahkan syarikat itu membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif atas kerugian yang dialami akibat kerosakan di tapak perkuburan itu.

    Mahkamah Tinggi mendapati bahawa kontraktor backhoe yang diupah oleh syarikat terbabit untuk melakukan kerja-kerja pengorekan di tapak perkuburan itu telah bertindak tanpa menghormati adat dan tradisi masyarakat Orang Asli.

    Bagaimanapun, pada 22 Okt 2024, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan syarikat itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan mendapati penduduk kampung tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman kerana mereka gagal membuktikan bahawa mereka ialah waris kepada individu yang dikebumikan di tapak perkuburan itu.

    Pada Jun 2025, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada penduduk untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Rayuan itu kemudian didengar selama dua hari, iaitu pada 26 Jan dan 8 Jun lepas.

    Pada prosiding hari ini, peguam Thiruneelakandan, Yogeswaran Subramaniam, Hon Kai Ping dan Ananthan Nithya Moorthi mewakili tujuh individu berkenaan, manakala Agrobest dan dua pekerja diwakili peguam Henry Ngok Heng Hui, Vernise Ng Si Hui dan Wong Yung Hang.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah