Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook hari ini menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung perbalahan terbuka antara Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri itu.
Dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sihat dan tidak wajar dalam menangani perbezaan pendapat mengenai dasar awam, terutama ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik luar.

"Perbalahan terbuka ini mesti dihentikan, dan disiplin parti mesti ditegakkan pada setiap masa.
“Sebagai setiausaha agung DAP, saya akan memanggil satu mesyuarat melibatkan kedua-dua pemimpin bagi menyelesaikan perkara ini secara baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loke menegaskan bahawa Lim, sebagai bekas setiausaha agung DAP dan bekas ketua menteri, sepatutnya memahami kepentingan disiplin parti dalam menangani sebarang bantahan terhadap keputusan kerajaan negeri.
Dia berkata sebarang perbezaan pendapat daripada penyokong kerajaan terhadap keputusan kerajaan negeri tidak seharusnya dizahirkan sehingga menjejaskan kedudukan ketua menteri dan pentadbiran negeri.
Walau bagaimanapun, dia turut mengingatkan Chow agar mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan yang dibangkitkan memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan aduan pelbagai pihak berkepentingan.

"Walaupun terdapat keperluan untuk menyemak semula kadar cukai tanah di zon komersial bagi memastikan kelestarian kewangan kerajaan negeri, pendekatan itu mestilah seimbang, responsif dan bertimbang rasa," katanya lagi.
Loke turut menekankan bahawa kadar cukai tanah melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah awam tidak seharusnya dinaikkan secara berlebihan dan perlu dikenakan kadar nominal.
Dia menggesa agar pemimpin parti berhenti bertelingkah secara terbuka dan kembali fokus untuk berkhidmat kepada rakyat serta melindungi kepentingan awam.
Hubungan antara Lim dan Chow semakin tegang kebelakangan ini, dengan kedua-dua mereka bertelagah secara terbuka.
Walaupun Lim bersikap kritikal secara terbuka terhadap kepimpinan Chow, kenyataannya semalam adalah serangan paling kerasnya terhadap penggantinya itu setakat ini.
Lim dalam kenyataannya mendakwa ramai pengundi Pulau Pinang tidak akan menyokong Chow jika mereka sedar bahawa manifesto pilihan raya negeri (PRN) 2023 kerajaan perpaduan membenarkan kenaikan kadar cukai tanah sehingga beribu-ribu kali ganda lebih tinggi.
Malah, kata Lim, dirinya terkejut dengan kenyataan terbaru Chow bahawa manifesto pilihan raya bukan dokumen yang menyekat kerajaan negeri daripada memperkenalkan inisiatif atau dasar baru jika dianggap perlu untuk kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negeri.
Veteran DAP itu berkata manifesto yang dilancarkan menjelang PRN tidak menunjukkan kadar cukai tanah boleh dinaikkan dengan gandaan yang begitu besar.





