Laungan bantah projek insinerator bergema di Selayang pagi ini apabila lebih 120 penunjuk perasaan berhimpun di hadapan pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Peserta himpunan menuntut pihak berkuasa untuk menghentikan rancangan membina insinerator di Batu Arang, Rawang.
Disatukan di bawah pakatan yang dipanggil Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI), mereka menggesa Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin supaya mengutamakan kebajikan penduduk Rawang berbanding syarikat yang mengaut keuntungan yang ingin membina loji sisa kepada tenaga (WTE) di kawasan bekas perlombongan arang batu.
Jurucakap RTI Abdul Hanan Abd Mokti berkata mereka berharap kerajaan tempatan akan mengkaji semula keputusan baru-baru ini untuk meluluskan pengezonan semula plot tanah di Batu Arang, yang memberi laluan kepada pembinaan insinerator.

"Kami harap MPS dengar bantahan kami. Kami pembayar cukai dan ini kampung halaman kami.
"Tuan Yang Dipertua MPS, tuan punyai amanah jaga keselamatan dan kesihatan warga dalam kawasan MPS ini.
"Amanah tuan-tuan adalah kepada penduduk. Bukan pada syarikat atau pihak swasta yang akan ambil keuntungan dari insinerator ini," kata Hanan.





