Seorang penjual pisang goreng hari ini dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan di Kuala Selangor pada minggu lepas.
Mohamed Shariza Othman, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Siti Hajar Ali.
Mahkamah Majistret Sungai Besar turut memerintahkan Mohamed Shariza menjalani hukuman penjara itu bermula dari hari ini, dan dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohamed Shariza didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia enam dan lapan tahun dari penjaga yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram di Kuala Selangor kira-kira jam 6.30 petang, 19 Julai lepas.
Bapa kepada dua anak terbabit didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu telah melarikan mangsa yang ketika itu sedang bermain di hadapan rumah mereka. Mohamed Shariza melakukan perbuatan tersebut dengan menaiki kereta Perodua Bezza.
Sebelum itu dia mengajak kanak-kanak terbabit menemaninya untuk menghantar surat, selain turut memberikan RM50 sebagai upah.
Kanak-kanak itu kemudian mengikut Mohamed Shariza ke kedai runcit, sebelum dia mengajak mereka berjalan-jalan sekitar Jeram serta singgah di rumahnya.
Kanak-kanak terbabit kemudian dihantar kembali ke pada hari yang sama.
Terdahulu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Muhd Muqri Mohd Khairi yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya melakukan tindakan itu kerana menginginkan anak perempuan.
Ketika ini, katanya, Mohamed Shariza hanya ada dua anak lelaki.
Muhd Muqri berkata Mohamed Shariza juga telah insaf atas tindakannya itu dan ia merupakan kesalahan pertama dilakukannya.
“Tertuduh merupakan penyara tunggal keluarga, manakala isterinya merupakan seorang suri rumah.
"Jika hukuman penjara dikenakan, mohon ia bermula dari tarikh ditangkap dan berjalan serentak.
"Mohon mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh yang rela hati menghantar semula kanak-kanak itu kepada penjaga dan keluarga mereka,” katanya.
Bagaimanapun timbalan pendakwa raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kepentingan awam.
“Berlaku penculikan dan bukan seorang tetapi dua mangsa. Kes penculikan semakin meningkat dan boleh mengancam nyawa mangsa. Mohon (hukuman) penjara berjalan berasingan,” katanya.





