28.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemandu OKU pekak diserang polis saman k’jaan, tuntut jurubahasa isyarat di balai

    Shopee Sale

    Pemandu e-panggilan orang kurang upaya (OKU), Ong Ing Keong, yang diserang seorang anggota polis pengiring daripada rombongan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2024, memfailkan saman sivil terhadap kerajaan, ketua polis Kuala Lumpur dan ketua polis negara bagi menuntut ganti rugi serta pembaharuan untuk meningkatkan akses bagi golongan OKU.

    Melalui saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai lalu, Ong menamakan anggota polis Muhammad Taufik Ismail sebagai defendan pertama, bersama seorang lagi anggota yang didakwanya menekan dirinya supaya menarik balik laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers kira-kira sejam selepas serangan pada 28 Mei 2024.

    Taufik, 34, yang merupakan sebahagian daripada rombongan Tunku Ismail, didakwa beberapa bulan kemudian berhubung kejadian itu yang mencetuskan kemarahan besar orang ramai. Dia hanya dikenakan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ong yang diwakili firma guaman Daim & Gamany menuduh defendan melakukan serangan, kecuaian, salah laku dalam jawatan awam serta melanggar peruntukan di bawah Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.

    Selain menuntut ganti rugi, Ong turut memohon pengisytiharan bahawa polis melanggar kewajipan berkanun mereka, serta injunksi mandatori yang mewajibkan balai polis di seluruh negara menyediakan akses kepada jurubahasa isyarat Malaysia.

    Pernyataan tuntutan itu menceritakan semula bagaimana Ong ditumbuk pada muka pada 28 Mei 2024 di luar Hotel St Regis di Kuala Lumpur, ketika dia pergi ke situ untuk mengambil penumpang.

    MENARIK:  ULASAN | ‘Tuah’ Bukit Jalil yang pernah singgah pada Brazil

    “Plaintif mengalami kesakitan pada mukanya dan amat terkejut, ketakutan, trauma serta dimalukan akibat tindakan defendan pertama.

    "Kejadian itu berlaku tanpa sebarang provokasi atau justifikasi yang sah di sisi undang-undang. Ia turut berlaku di hadapan orang ramai dan penumpang plaintif,” menurut pernyataan itu.

    Pernyataan berkenaan turut memperincikan kejadian yang didakwa dialami Ong di Balai Polis Travers, dengan mendakwa dia ditekan supaya menarik balik laporan polisnya dan telefon bimbitnya dirampas.

    “Plaintif kemudiannya dimaklumkan oleh anggota polis bahawa telefon bimbitnya hanya akan dikembalikan sekiranya dia bersetuju menarik balik laporan polis pertama dan memadamkan video yang menunjukkan defendan pertama menumbuknya.

    “Apabila plaintif enggan dan meminta telefon bimbitnya dikembalikan, dia dibiarkan bersendirian menunggu selama beberapa jam, dan sepanjang tempoh itu dia tidak dibenarkan mengakses telefon bimbitnya.

    “Telefon bimbit itu digunakan plaintif untuk bekerja dan berkomunikasi sebagai seorang pekak.

    “Oleh itu, plaintif berasa amat takut, cemas dan tertekan kerana telefon bimbitnya diambil untuk tempoh yang lama tanpa sebarang alasan dan tanpa sebarang jaminan bahawa ia akan dikembalikan.

    “Pada setiap masa yang berkenaan, akses kepada komunikasi dan/atau jurubahasa isyarat Malaysia dan/atau peralatan transkripsi dan/atau kemudahan penterjemahan tidak disediakan kepada plaintif oleh defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima, yang bercanggah dengan Seksyen 30 Akta Orang Kurang Upaya 2008,” menurut pernyataan itu.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah