Seorang lelaki 28 tahun diheret ke mahkamah atas pertuduhan membunuh hari ini susulan kematian penghantar barang, Amirul Hafiz Omar, di Klang, kelmarin.
Bagaimanapun, R Saktygaanapathy tidak membuat sebarang pengakuan ketika dituduh di mahkamah majistret kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan bunuh boleh dihukum sama ada dengan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah mesti disebat sekurang-kurangnya 12 kali.
Mengaku salah hisap dadah
Sementara itu, NST melaporkan Sakthygaanapathy mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis benzodiazepine dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri.
Pertuduhan dadah itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000.
Amirul terkorban dalam kemalangan tragis di Klang pada Ahad ketika dalam perjalanan untuk membeli buku matematik bagi anak sulungnya.
Balunya, Nor Nadia Abdul Majid, mahu tertuduh membayar dengan nyawanya sendiri.
“Mana pembunuh suami saya? Saya mahu nyawa dibalas nyawa,” kata ibu kepada tiga anak itu seperti yang dilaporkan FMT ketika dia menuju ke bilik mahkamah sebelum pertuduhan dibacakan.





