MUKTAMAR PAS l Kepimpinan PAS menyatakan komitmen untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada PRU ke-16.
Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Andasura Rabu berkata, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dalam aspek itu kita perlu melihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.
“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.
“Tetapi (kalau) dalam mana-mana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita, kita akan melihat perkara-perkara yang mendatangkan keburukan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh, hari ini.
Andasura yang juga Adun Berserah nerkata demikian ketika ditanya berhubung perkara itu bagi mengikuti jejak langkah kerajaan PAS seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.





