BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan bahawa perbualan telefonnya pada tahun 2016 dengan bekas timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad adalah satu bentuk campur tangan dalam siasatan terhadap skandal 1MDB.
Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan berkata demikian ketika memberikan keterangan kepada Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya hari ini berkaitan rakaman audio perbualan tersebut.

Dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM2.27 bilion dana 1MDB, Najib disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengenai sama ada wajar bagi seorang perdana menteri ketika itu berhubungan dengan individu yang terlibat dalam siasatan berkenaan.
Akram: TPR (Dzulkifli) memberi maklumat / status siasatan terhadap Datuk Seri?
Najib: Betul.
Akram: Datuk Seri setuju bahawa Datuk Seri adalah perdana menteri ketika perbualan itu (5 Januari 2016)?
Najib: Betul.
Akram: Sebagai perdana menteri ketika itu, Datuk Seri sepatutnya tidak menerima penjelasan daripada seorang TPR mengenai siasatan terhadap Datuk Seri.
Najib: Saya tidak campur tangan sama sekali.
Akram: Hakikat bahawa Datuk Seri mendengar maklumat terkini mengenai siasatan terhadap Datuk Seri sendiri itu adalah satu kesalahan.
Najib: Saya tidak setuju.
Akram: Fakta bahawa Datuk Seri bertanya dan mendengar butiran siasatan terhadap Datuk Seri, yang dijalankan pada tahun 2015 berkaitan wang yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri, menunjukkan Datuk Seri mempunyai kepentingan peribadi dalam 1MDB.

Najib: Saya tidak setuju dengan kenyataan itu. Saya tidak mempunyai kepentingan peribadi.
Dzulkifli, yang pada asalnya bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC), kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016. Tempoh perkhidmatannya berakhir pada 14 Mei 2018.
Rakaman audio perbualan itu adalah sebahagian daripada beberapa rakaman yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada awal 2020. Rakaman itu digunakan sebagai bukti oleh pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB terhadap Najib.
Kes prima facie
Pada 30 Oktober tahun lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan 50 saksi sepanjang peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Najib pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap pertuduhan jenayah 1MDB tersebut.





