Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baru berkuatkuasa esok.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mohd Dusuki sebagai peguam negara telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurutnya Mohd Dusuki mengambil alih jawatan itu daripada Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
"Mohd Dusuki bin Mokhtar, dilahirkan di Machang, Kelantan, kini berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.
"Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara.
"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara,” katanya.
[Berita penuh menyusul]





