29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MN 2.0: Apa jaminan khianat tak berulang, tanya Khairuddin

    Shopee Sale

    Seorang pemimpin kanan Majlis Ulama Umno berpendapat parti itu wajar berhati-hati dengan tawaran kerjasama dihulur PAS ketika ini.

    Hal itu kerana, kata Khairuddin Aman Razali, ketika diajak berdamai masih terdapat tohmahan yang dibangkitkan dari pihak PAS terhadap Umno, termasuk yang melibatkan pemimpin tertinggi mereka.

    “Kredibiliti Presiden Umno masih menjadi pertaruhan. Malah kata-kata di belakang tabir ialah (mereka) mahukan kerjasama PAS dan Umno tanpa Presiden Umno!

    “Ini samalah (seperti) mahukan ahli Bersatu tanpa Presiden Bersatu! Apa jaminan tiada pengkhiantan berulang?” katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas situasi terkini politik negara.

    Khairuddin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Malaysia berpendapat orang ramai sukar untuk percaya kepada tawaran PAS ketika parti itu melihat dengan jelas hubungan mereka dengan Bersatu hanya mampu bertahan selama lima tahun saja.

    Sedangkan, katanya, ketika hubungan PAS dan Bersatu erat mereka saling memuji antara satu sama lain, namun kini pelbagai kejian dilontarkan selepas mereka berselisih faham.

    “Ini bukan akhlak Islam,” katanya lagi.

    Khairuddin yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat mendakwa, dia memang sangat menyokong kerjasama di antara PAS dan Umno kerana itu yang diperjuangkan selama ini.

    Bahkan, katanya, kerana itu jugalah dia mengambil keputusan meninggalkan PAS.

    Namun, tambah Khairuddin, dengan apa yang dipamerkan oleh PAS ketika ini menimbulkan keraguan terhadap masa depan kerjasama kedua-dua parti.

    “Di saat Umno telah menjalin hubungan dengan PKR dan Amanah, ia adalah formula terbaik untuk Umno bangkit di saat tawaran PAS sangat meragukan,” katanya lagi.

    Berikut ialah kenyataan dikeluarkan Khairuddin:

    Fitnah besar terhadap Islam berlaku apabila tindak tanduk parti berjenama Islam tidak selari dengan Islam. Dalam konteks ini saya merujuk kepada tindak-tanduk PAS dalam kerjasama politik sebagai parti yang membawa jenama Islam.

    Apabila membawa nama Islam maka tanggungjawab besar PAS ialah menjaga nama Islam dan jenama politik Islam.

    Majlis Syura Ulama PAS tidak harus hanya menjadi "rubber stamp" untuk mengesahkan pandangan dan kehendak presiden parti sahaja walaupun beliau juga bertaraf ulama.

    Sebarang kerjasama politik – sama ada mahu diputuskan atau mahu dilaksanakan – hendaklah dibuat setelah dibahas dengan masak dengan kertas kerja lengkap dengan segala dalil dan etika semasa yang mesti dipertegaskan.

    Sebarang kerjasama politik adalah berasaskan prinsip bekerjasama atas kebajikan dan takwa. Sama ada ketika bersama dalam kerjasama atau ketika berakhir kerjasama, persaudaraan Islam perlu kekal mengikat hubungan antara parti-parti orang Islam dan sesama orang politik Islam.

    Jangan ada maki hamun dan kejian apabila terungkai persepakatan.

    Bagaimana dapat dipercaya lagi

    Campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti rakan kerjasama adalah tidak beretika apatah lagi jika ada usaha mencampuri urusan untuk menurunkan presiden parti rakan kerjasama. Ia menjejaskan nama Islam yang dibawa ke sana sini.

    MENARIK:  'Semua komited bersama kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal'

    Ia juga berlaku ketika PAS bersama dalam Muafakat Nasional (MN) dulu, dan berlaku lagi dalam PN. Saya dikhabarkan tentang perkara ini oleh orang yang terlibat dengan peranancangan tersebut sebelum disahkan oleh pimpinan parti berkaitan.

    Bahasa kasar para pemimpin di pentas ceramah dengan mengejek dan merendah-rendahkan rakan kerjasama di ambang ketegangan dengan rakan kerjasama sangat tidak beretika.

    Malangnya ketika berceramah para pemimpin berkopiah dan berjubah, malah menghalalkan tindakan berlapikkan ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi memukau para pendengar yang tergolong kalangan mereka yang walak ikhlas demi parti yang mereka sertai.

    Jangan dinafikan perkara ini kerana media maya hari ini merekodkan semua ceramah dan ungkapan kita.

    Dalam situasi PAS menawarkan kerjasama kembali dengan Umno, pelbagai tohmahan masih lagi dibangkitkan dan dilontarkan terhadap Umno. Kredibiliti Presiden Umno masih menjadi pertaruhan.

    Malah kata-kata di belakang tabir ialah mahukan kerjasama PAS dan Umno tanpa Presiden Umno! Ini samalah mahukan ahli Bersatu tanpa Presiden Bersatu! Apa jaminan tiada pengkhianatan berulang?

    Bagaimana dapat dipercayai PAS untuk kembali bekerjasama jika rakyat Malaysia dengan jelas melihat bagaimana rapuhnya hubungan antara PAS dan Bersatu yang hanya mampu bekerjasama selama lima tahun sahaja.

    Kalau dulu disaat hubungan baik, pelbagai pujian dilambung tetapi apabila bercerai pelbagai kejian dilontarkan. Ini bukan akhlak Islam.

    Saya sangat menyokong kerjasama antara PAS dan Umno kerana itu yang saya perjuangkan sehingga saya mengambil keputusan meninggalkan PAS kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan presiden PAS yang dipengaruhi oleh beberapa orang yang melanggar banyak tatacara dan perlembagaan PAS.

    Namun, dengan etika semasa yang dipamerkan oleh PAS, ia menimbulkan keraguan terhadap masa depan kerjasama.

    Pada saat Umno menjalin hubungan dengan PKR dan Amanah, ia adalah formula terbaik untuk Umno bangkit di saat tawaran PAS sangat meragukan.

    Jika modal perpaduan Islam Melayu menjadi jualan maka apa erti perpaduan Melayu dalam situasi Bersatu baru sahaja diceraikan? Perpaduan Melayu Islam hanyalah slogan kosong demi politik semata-mata.

    Namun halangan kepada kerjasama PKR dan Amanah ialah tindak tanduk DAP yang sangat merimaskan dan tidak mesra Melayu Islam. Saya istiqamah dengan pandangan saya terhadap DAP yang tidak berubah sejak dulu.

    Saya bukan lagi ahli PAS tetapi saya mempunyai tanggungjawab menegur PAS selagi dia membawa nama Islam pada parti kerana saya seorang Muslim.

    Kepada ahli PAS, saya tahu anda hanyalah pengikut yang ikhlas. Kepada pemimpin, sayangilah pengikut anda yang tulus ikhlas dan jangan hampakan mereka.

    Saya juga pendukung perpaduan Melayu Islam merentasi parti demi Islam. Sebaiknya Umno, PAS, PKR dan Amanah duduk semeja!

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah