Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk melarang media daripada membuat liputan berkenaan permohonan semakan kehakiman agar dia menghabiskan baki tempoh hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Hakim Amarjeet Singh hari ini membenarkan permohonan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah agar prosiding terbuka permohonan itu ditukar ke perbicaraan di dalam kamar.
Difahamkan prosiding hari ini melibatkan pemfailan mahkamah yang sensitif.
Pengamal media menunggu di luar Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan respons Shafee dan peguam kanan persekutuan berhubung apa yang berlaku dalam prosiding dalam kamar hari ini.
Pada 4 April lalu, Shafee memamklumkan seorang "saksi penting" dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahun dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dengan tahanan di rumah.
Namun, dia tidak mendedahkan identiti saksi tersebut.
Bekas presiden Umno itu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan apa yang didakwa sebagai titah adendum (tambahan) Yang di-Pertuan Agong yang dikaitkan dengan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta terhadapnya.
Menurut afidavit sokongan yang dibuatnya, Najib mendakwa titah adendum (tambahan) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.
Justeru, dia memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.
Menurut salinan permohonan semakan kehakimannya, Najib mendakwa Agong mengeluarkan titah itu pada 29 Januari lalu, iaitu hari yang sama hukumannya dikurangkan.
Dia turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi "dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah".
Dia turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.
Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Agong.
Dia turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.
[Baca berita asal]





