Seorang tokoh berpengaruh Bersatu menyambut pengumuman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, terkait ‘kejutan’ yang dijanjikan parti itu semalam dengan nada sinis.
Ahli akademik, Marzuki Mohamad, berkata pada sosok Abdul Hadi itu ternampak perwatakan supreme leader (pemimpin agung) di sebalik kedudukannya yang tiada dalam badan tertinggi PN.
Menurut Marzuki ada dua keputusan yang diumum Abdul Hadi itu tidak dibuat oleh Majlis Tertinggi PN iaitu Hamzah Zainudin, dilantik semula sebagai ketua pembangkang, dan parti pimpinan Ahli Parlimen Larut itu akan menggunakan logo gabungan terbabit dalam pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan.
“Malah, keputusan pertama (pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang) bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN melantik Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS, sebagai Ketua Pembangkang.
“Presiden PAS bukan ahli (MT) PN, tetapi ‘berkuasa’ membuat keputusan PN,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Pun begitu, kata Marzuki, di sebalik kedudukan Abdul Hadi berkenaan dia yakin MT PN akan memberi restu terhadap ketetapan tersebut.
Katanya tidak mungkin Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN mengabaikan agenda berkenaan daripada mesyuarat MT mereka yang akan datang.

Malah, dakwa bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin semasa dia menjadi perdana menteri dulu itu melihat kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN turut bergantung kepada “ihsan” Abdul Hadi.
“Hari ini pun (semalam), di hadapan ribuan ahli PAS yang dikerah untuk memeriahkan majlis Hamzah (di Tanah Merah), beliau (Ahmad Samsuri) ‘dipecat’ sebagai ketua pembangkang sebelum memulakan tugas.
“Inilah ciri-ciri Presiden PAS sebagai supreme leader.
“Apabila PN menjadi kerajaan kelak, wartawan tidak perlu menunggu di Putrajaya pada hari Rabu untuk mengetahui keputusan kabinet.
“Tunggu saja di Rusila pada hari Jumaat,” katanya sinis merujuk kepada rutin Abdul Hadi yang memberikan kuliah mingguan di masjid terkenal itu.
PAS tak buat salah
Semalam berlangsung majlis grup Reset yang melibatkan Hamzah serta penyokongnya yang memilih haluan berbeza daripada Muhyiddin.
Di Tanah Merah, Kelantan itu jugalah bekas Timbalan Presiden Bersatu itu mengumumkan nama parti barunya – yang dicadangkan Abdul Hadi sendiri – iaitu Parti Wawasan Negara.
Abdul Hadi juga mengumumkan jawatan ketua pembangkang dikembalikan kepada Hamzah selepas ia dipegang Ahmad Samsuri kurang dari sebulan lalu.
Bersatu sebelum ini memang mendesak agar Hamzah digantikan kedudukannya sebagai ketua pembangkang selepas dipecat serta-merta dari parti tersebut.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff membela Abdul Hadi dengan mengingatkan Marzuki tentang bagaimana pelantikan Hamzah dibuat sebelum ini.
Katanya, ketika itu Muhyiddin memberikan kebenaran kepada Abdul Hadi membuat pelantikan ketua pembangkang atas dasar PAS mempunyai jumlah ahli parlimen yang lebih ramai berbanding parti pembangkang lain.
Pelantikan tersebut, kata Nurul Islam, juga dibuat tanpa melalui mesyuarat MT PN.
“Lagipun mengikut konvensyen dalam sistem Westminster dan amalan Parlimen Malaysia, ketua pembangkang ialah seorang ahli parlimen yang dipersetujui oleh majoriti ahli parlimen bukan kerajaan.
“Dalam kes ini, PAS + Reset adalah majoriti di Parlimen. Maka tidak salah PAS umumkan seorang ahli parlimen yang dipersetujui oleh majoriti pembangkang.
“Maka proses seterusnya ialah memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai keputusan tersebut. Khalas,” katanya.

Nurul Islam turut mengaitkan tindakan Muhyiddin mengumumkan pembentukan gagasan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pada Okt tahun lalu.
Katanya, Muhyiddin juga memberitahu kepada umum yang IPR dibenarkan bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo PN.
“Mesyuarat MT PN mana yang putuskan perkara tersebut?
“Bukankah ini adalah keputusan politik yang sepatutnya dibuat dalam mesyuarat MT PN? Atau Tan Sri (Muhyiddin) terlupa dia dah bukan Pengerusi PN?” katanya menyindir.
Mengenai kehadiran orang ramai di majlis Reset semalam, Nurul Islam berkata, hanya pimpinan utama dan ahli parlimen PAS sahaja dijemput.
Ribuan yang lain, dakwa Nurul Islam, adalah ahli Reset yang kini akan menganggotai Parti Wawasan Negara.
“Ini fakta yang Dr Marzuki perlu terima,” katanya.





