26 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Malaysia digesa tarik diri dari eksesais tentera laut kerana penyertaan Israel

    Shopee Sale

    Sekumpulan NGO pro-Palestin menggesa Malaysia menarik diri daripada menyertai eksesais tentera laut yang akan diadakan tidak lama lagi bagi membantah penyertaan Israel dalam acara itu.

    Kumpulan itu berkata Israel secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa rakyat Palestin yang terkorban dalam serangannya di Gaza dan undang-undang antarabangsa termasuk perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar menghentikan serangan di Rafah.

    “Dunia harus berhenti menganggapnya sebagai sebuah negara biasa yang mematuhi undang-undang jika mahu jenayah Israel di Gaza dan Tebing Barat dihentikan.

    "Kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan Malaysia untuk segera berundur daripada eksesais ketenteraan Rimpac bagi menyampaikan mesej itu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan 15 kumpulan termasuk gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), Muslim Care Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

    Mereka merujuk kepada latihan Rim of the Pacific Exercise 2024 (Rimpac 2024), yang diadakan dua tahun sekali di Hawaii, Amerika Syarikat, dan merupakan eksesais maritim terbesar di dunia.

    Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disenaraikan dalam kalangan peserta Rimpac sejak 2010, tetapi hanya menghantar kapal pertamanya - KD Lekiu pada 2018 dan KD Lekir pada 2022.

    Tentera Laut Israel mula menyertai latihan Rimpac pada 2018 tetapi masih belum menghantar kapalnya untuk menyertai latihan itu.

    Rimpac 2024 akan diadakan dari 26 Jun hingga 2 Ogos, melibatkan 29 negara, 40 kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan tentera darat, lebih 150 pesawat dan lebih 25,000 anggota.

    Dalam kenyataan akhbarnya pada 21 Mei, Armada Pasifik AS yang menjadi tuan rumah acara itu - menyatakan bahawa acara tersebut akan menyepadukan dan mempersiapkan negara-negara terlibat dengan latihan dan operasi bersama untuk "memperkuat kekuatan kolektif dan mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka".

    MENARIK:  AS bakal rampas berbilion dolar Bitcoin dimiliki Venezuela?

    Selain Malaysia, AS dan Israel, negara peserta lain termasuk Australia, Brunei, Chile, India, Indonesia, Singapura, Thailand dan UK.

    Dalam kenyataan akhbar berasingan semalam, TLDM berkata KD Lekiu telah meninggalkan pangkalannya di Lumut untuk menyertai Rimpac 2024.

    Pelayaran yang berlangsung hampir 100 hari dan meliputi 12,730 batu nautika (23,576 km) itu akan menyaksikan KD Lekir mengambil bahagian dalam pelbagai latihan termasuk melepaskan peluru berpandu secara langsung terhadap kapal sasaran.

    “Penyertaan TLDM dalam Rimpac 2024 membawa beberapa mesej penting dan manfaat kepada negara iaitu mmenunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang kompleks dan mencabar serta meningkatkan kesalingoperasian antara TLDM dengan kesemua angkatan tentera laut antararabangsa yang menyertai eksesais ini.

    “Selain itu, eksesais ini dijadikan platform anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baru melalui latihan bersama yang intensif.

    “Di samping itu juga, penyertaan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain melalui interaksi dan kerjasama erat,” katanya dalam kenyataannya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah