27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas tangguh saman Petros

    Shopee Sale

    Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menangguhkan prosiding saman pemula Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi membatalkan tuntutan Petronas berhubung jaminan bank berjumlah RM7.95 juta.

    Pesuruhjaya Kehakiman Faridz Gohim Abdullah yang membuat keputusan itu, berkata tiada keadaan khas dan alasan kukuh bagi membolehkan saman pemula itu digantung sementara menunggu keputusan akhir prosiding terdahulu.

    Dia turut menetapkan 11 Jun depan bagi pendengaran saman pemula difailkan oleh Petros sementara menunggu permohonan Petronas bagi kebenaran untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

    Menerusi saman itu, Petros memohon deklarasi bahawa tuntutan Petronas pada 14 Okt 2024 berhubung jaminan banknya adalah tidak wajar, menyalahi undang-undang dan justeru itu, adalah tidak sah serta terbatal.

    Tuntutan itu membabitkan pembayaran bagi gas asli yang dibekalkan oleh Petronas kepada Petros di bawah satu perjanjian pembekalan gas bertarikh 30 Dis 2019.

    MENARIK:  Pemilikan saham: Azam fail saman fitnah RM100j pada Bloomberg

    Pada prosiding sebelum ini, Petros melalui peguamnya Sim Hui Chang berhujah bahawa perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan susulan pindaan kepada Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, yang digubal pada November 2023, yang menyatakan bahawa tiada orang selain pengagregat gas boleh membekalkan atau mengagihkan gas di Sarawak tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pengarah Pengedaran Gas.

    Oleh itu, Petros berhujah adalah tidak wajar bagi Petronas untuk menuntut bayaran bagi gas yang telah dibekalkan secara tidak sah dan bertentangan dengan ordinan berkenaan.

    Bagaimanapun, peguam Alex Ngu yang mewakili Petronas menafikan ia tertakluk kepada DGO kerana hanya perlu terikat dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

    -Bernama


    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah