Menteri luar lapan negara mengecam tindakan Israel di sekitar Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik kenyataan bersama mereka.
Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif di Baitulmuqaddis Timur merupakan tapak ketiga paling suci dalam Islam, manakala statusnya kekal antara isu utama dalam konflik Israel-Palestin.
Pada Khamis, Kementerian Luar Turkiye mengecam sekeras-kerasnya tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir memasuki kawasan Al-Haram Al-Sharif sempena Tisha B’Av, hari berkabung dan berpuasa dalam agama Yahudi.
“Menteri-menteri luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi Israel di Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif.
“Ini termasuk pencerobohan beramai-ramai secara berterusan oleh pendatang haram yang diketuai menteri pelampau Israel ke Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif dengan perlindungan tentera, pengibaran bendera Israel di pekarangannya, pemasangan dua khemah oleh polis Israel serta semua tindakan lain yang mencetuskan ketegangan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan berkenaan menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta status quo sejarah dan perundangan tapak suci di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
“Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis yang diduduki atau tapak suci Islam dan Kristian di bandar itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Menteri-menteri luar itu turut menggesa Israel segera menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis dan tidak menghalang umat Islam daripada memasuki masjid berkenaan untuk menunaikan ibadah.





