Perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) bermula petang ini di ibu negara.
Sejak pagi, peserta berkumpul di empat lokasi sekitar pusat bandar sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan.
Polis menganggarkan kehadiran peserta dijangka mencecah antara 10,000 hingga 15,000 orang. Namun begitu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mendakwa sejuta orang akan menyertai perhimpunan itu.
Antara pemimpin pembangkang utama yang dijangka hadir dan menyampaikan ucapan ialah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, serta Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Polis sebelum ini memberi jaminan akan bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan berlangsung dengan lancar dan selamat, termasuk menambah anggota bagi menjaga keselamatan dan memastikan kelancaran pengangkutan awam.
11 am– Dataran Merdeka: Penganjur dakwa dihalang pihak berkuasa.
Penganjur perhimpunan mendakwa mereka dihalang pihak berkuasa apabila diarahkan untuk membuka semula pentas yang telah didirikan di Dataran Merdeka.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lanjnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, dalam satu hantaran di Facebook berkata arahan tersebut dikeluarkan walaupun polis sebelum itu memberikan kebenaran untuk mereka mendirikan pentas berkenaan.
"Petugas kita dari pukul 3 pagi hingga subuh bersusah payah setup pentas.
"Pagi ni tiba-tiba orang yang sama datang suruh buka pentas dan ugut nak sita pula,” katanya.
Nurul Islam turut berkongsi video yang menunjukkan anggota Unit Amal PAS sedang menanggalkan struktur pentas sekitar jam 10 pagi.
"Jadi usaha Madanon untuk menggagalkan perhimpunan ini, Mungkin takutlah kot. Tapi tak apa kita patuh,” katanya.





