LANGSUNG | Pusat mengundi ditutup dan tiba masanya untuk pengiraan undi bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2025.
Malaysiakini membawakan anda maklumat terkini secara langsung.
6.30 pm - DAP berdepan cabaran sengit untuk menawan semula Sri Tanjong. Penyandang kerusi itu Justin Wong juga telah berpaling tadah ke Warisan pada 2022.
Dengan kira-kira 16 peratus undi dikira, Wong mendahului dengan kira-kira 3,300 undi manakala pencabarnya dari DAP Philip Yap meraih sekitar 2,000 undi.
6.30 pm - Anak Tuan Yang Terutama Sabah dan bekas timbalan menteri kewangan negeri, Yamani Hafeez Musa, yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan, mendahului di Sindumin, dengan Yusri Pungut dari Warisan berada di belakang. Yamani memperoleh 108 undi, dengan hanya 215 undi dikira setakat ini.

6.25 pm: - Di Elopura, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, bakal berdepan persaingan sengit untuk merampas semula kerusi itu bagi DAP.
Dengan kira-kira 8 peratus undi sudah dikira, penyandang Calvin Chong, yang keluar dari DAP dan menyertai Warisan pada 2022, mendahului dengan lebih 1,600 undi, manakala Wong mempunyai sekitar 1,100 undi.
Calon KDM meraih lebih 600 undi setakat ini.

6.15 pm - Di Pintasan, bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia bersaing sengit dengan penyandang Fairuz Renddan, yang bertanding sebagai calon bebas.
Pandikar mempunyai 214 undi setakat ini, sementara Fairuz 177 undi. Calon Warisan rapat di belakang dengan kira-kira 100 undi.
6.00 pm: Setakat jam 4 petang, kadar keluar mengundi adalah 60 peratus, menurut SPR.
Sementara itu, keputusan tidak rasmi mula masuk
Di Kemabong, yang menyaksikan DAP, BN dan GRS bersaing dalam pertandingan sembilan penjuru, dengan kira-kira 5 peratus undi dikira, pengiraan undi awal menyaksikan penyandang GRS dan calon PH bersaing sengit, masing-masing dengan 446 dan 434 undi.
Sementara itu, BN baru meraih 168 undi setakat ini.





