Di tengah-tengah lonjakan harga minyak dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan siri lawatan ke tiga buah negeri dalam tempoh tiga hari bagi acara politik dan tugasan rasmi.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar pula menerajui konvoi motosikal sejauh 10km bersama menteri-menteri besar dari Kelantan, Kedah, dan Perlis.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan ribuan peserta menyertai acara tersebut yang bemula dari Dataran Batu Buruk menuju ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.
Dengan andaian terdapat kira-kira 2,000 penunggang motosikal dalam konvoi tersebut, dan purata kapasiti enjin 250cc akan menelan minyak sebanyak 30 liter bagi setiap 100km, anggaran Malaysiakini menunjukkan keseluruhan konvoi itu akan menggunakan 600 liter petrol secara keseluruhan.
Ini tidak mengambil kira penggunaan minyak bagi mereka yang datang dari luar negeri termasuk tokoph-tokoh kenamaan termasuk menteri-menteri besar PN yang lain.

Bagi Anwar, perjalanannya bermula pada Jumaat di Pahang, dengan mempengerusikan mesyuarat pembangunan daerah, merasmikan kedai Madani Mart yang pertama, dan kemudian menghadiri dua perhimpunan Madani.
Pada Sabtu, dia ke Perak, melawat sekurang-kurangnya dua buah sekolah termasuk Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), serta menghadiri program Madani.
Kemudian pada Ahad, Anwar ke Johor bagi mesyuarat tahunan PKR negeri, melawat penempatan Felda serta sebuah sekolah vokasional.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menemani Anwar di Perak dan Johor, manakala Menteri Sumber Manusia R Ramanan serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menghadiri konvensyen PKR Johor.
Sementara itu, sewaktu di Johor, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said membawa perdana menteri menaiki helikopter untuk meninjau sendiri jarak antara Pulau Batu Puteh dan Middle Rock.
Dua singkapan batu itu terletak kira-kira 1.1km antara satu sama lain.
Pentadbiran Anwar menghidupkan semula hasrat Malaysia untuk menuntut semula Pulau Batu Puteh, yang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 memutuskan adalah milik Singapura. Malaysia diberikan hak kawalan ke atas Middle Rock.

Azalina, dalam satu hantaran di X semalam, berkata tinjauan udara itu bertujuan menyatakan kekecewaan pengundinya di Pengerang terhadap keputusan kerajaan pada 2018 untuk menggugurkan rayuan kepada ICJ bagi menuntut semula Pulau Batu Puteh.
Tidak jelas helikopter mana yang digunakan oleh Azalina dan Anwar untuk tinjauan tersebut, namun ia kelihatan seperti pesawat enam tempat duduk.
Helikopter pengangkutan VIP yang paling kerap digunakan di Malaysia ialah AgustaWestland AW139.

Walaupun tempoh penerbangan mereka tidak diketahui, AW139 boleh menggunakan sehingga 600 liter bahan api sejam.
Beberapa pengguna media sosial dilihat memberi maklum balas terhadap hantaran Azalina dengan mempersoalkan bagaimana penggunaan helikopter tersebut selari dengan mesej Putrajaya mengenai amalan berjimat cermat ketika krisis tenaga.
Kakitangan kerajaan dan mereka yang berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sepatutnya mula bekerja dari rumah minggu depan; Anwar berkata ini adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api susulan isu bekalan yang berpunca daripada konflik Asia Barat.





