Kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Teoh Beng Hock telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
"PDRM telah memanggil semula saksi-saksi yang terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan dan telah mengedarkannya semula kepada pihak AGC bagi ulasan dan pandangan," katanya.
Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (Pakatan Harapan-Kepong), yang bertanya status terkini siasatan semula dan tindakan susulan kerajaan dalam kes kematian Teoh dan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pada 19 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 29 Julai sebagai tarikh untuk memutuskan semakan kehakiman yang dibawa oleh keluarga Teoh berhubung kematiannya.
Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di Ibu Pejabat SPRM Selangor, dan dipercayai terjatuh dari tingkat 14 bangunan itu.
Ketika kematiannya, Teoh merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor yang juga Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah.
Bagi kes kematian Adib, Saifuddin merujuk kepada keputusan kabinet yang membentuk jawatankuasa khas untuk meneliti perkara itu secara menyeluruh.
“Jawatankuasa khas itu memulakan proses siasatan pada 12 Disember 2021 dan menyerahkan laporan akhir kepada kerajaan dan pertimbangan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Dia merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri bahawa jawatankuasa khas telah dibentuk untuk meneliti kematian Adib.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018, akibat kecederaan yang dialami semasa menjalankan tugas semasa rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, kira-kira sebulan sebelum itu.
Pada September 2020, koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa kematian Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga penyerang yang tidak dikenali semasa rusuhan di luar kuil pada November 2018.
Bagaimanapun, penyiasatan masih belum mengenal pasti pelaku yang didakwa.
Pada 2022, kerajaan membayar pampasan RM1.5 juta kepada keluarga Adib.





