KATA MP | Setiap generasi mewarisi institusi yang dibina oleh generasi sebelumnya. Begitu juga setiap kerajaan yang diberi mandat untuk mentadbir negara.
Amanah yang dipikul bukan sekadar mengurus apa yang telah diwariskan, tetapi juga memastikan institusi terbabit menjadi lebih kukuh apabila diserahkan kepada generasi seterusnya.
Itulah makna sebenar reformasi institusi. Ia bukan sekadar melaksanakan perubahan semata-mata, apatah lagi untuk memenuhi tuntutan politik semasa. Sebaliknya, reformasi institusi bertujuan memastikan asas negara terus teguh, diyakini rakyat dan mampu berkhidmat kepada negara untuk tahun-tahun yang mendatang.
Reformasi perlembagaan sering kali dinilai melalui lensa politik. Setiap cadangan mudah dilihat sebagai menguntungkan pihak tertentu atau mencerminkan kepentingan sesebuah kerajaan.
Namun reformasi perlembagaan yang membawa makna sebenar tidak pernah dirangka untuk memenuhi keperluan politik hari ini semata-mata. Reformasi yang baik sentiasa melihat jauh ke hadapan.
Matlamatnya ialah untuk memperkukuh institusi yang akan terus berkhidmat kepada negara, jauh selepas mana-mana kerajaan, menteri atau ahli politik meninggalkan tampuk pentadbiran.
Sebagai seorang penggubal undang-undang, saya percaya inilah ciri sebuah demokrasi yang matang.
Perlembagaan bukan sekadar dokumen undang-undang yang terus dipelihara tanpa sebarang perubahan. Ia merupakan asas kepada sistem kenegaraan yang perlu terus berkembang mengikut tuntutan zaman dan kematangan masyarakat.
Sentuh aspek kebolehpercayaan
Apabila harapan rakyat berubah, institusi negara juga perlu diperkasakan seiring perubahan tersebut. Bukan kerana institusi itu telah gagal, tetapi kerana demokrasi yang matang sentiasa bersedia memperbaiki dirinya sebelum kelemahan mula muncul.
Malaysia kini berada di persimpangan detik terpenting dalam perjalanan tersebut.
Dalam masa terdekat, parlimen akan membahaskan cadangan pindaan perlembagaan bagi memisahkan perananan peguam negara (AG) dan pendakwa raya. Sudah tentu perbahasan tersebut akan menyentuh soal peruntukan undang-undang, struktur perlembagaan dan mekanisme pelaksanaannya.
Semua itu penting, namun di sebalik perbahasan teknikal tersebut, terdapat satu persoalan yang jauh lebih besar – adakah reformasi itu akan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan di negara ini?
Pada hemat saya, itulah persoalan sebenar yang perlu dijawab oleh parlimen.
Cadangan tersebut bukan sekadar mengenai perubahan struktur pentadbiran. Ia menyentuh soal kepercayaan. Ia mengajak kita menilai jika dua tanggungjawab perlembagaan yang selama hampir tujuh dekad dilaksanakan oleh satu institusi akan dapat berfungsi dengan lebih berkesan sekiranya dipisahkan kepada dua institusi yang berbeza – masing-masing dengan perananan, mandat dan akauntabiliti yang jelas.

Perkara itu juga tidak harus ditafsirkan sebagai kritikan terhadap sistem yang telah diamalkan selama ini.
Sejak negara mencapai kemerdekaan, semua peguam negara terdahulu telah melaksanakan amanah mereka dengan penuh profesionalisme, dedikasi dan integriti. Mereka berkhidmat ketika negara melalui pelbagai fasa pembangunan – dari pembinaan negara bangsa, transformasi ekonomi sehinggalah perubahan landskap politik yang semakin dinamik.
Sumbangan institusi tersebut kepada kestabilan demokrasi berperlembagaan negara tidak boleh dinafikan.
Namun, reformasi institusi yang baik bukan hanya lahir apabila berlaku kegagalan. Sebaliknya, demokrasi yang utuh sentiasa memperkemaskan kerangka institusinya sebelum keyakinan rakyat mula terhakis.
Tanpa keraguan integriti
Institusi yang baik tidak menunggu sehingga timbul krisis untuk berubah, ia sentiasa berubah bagi memenuhi permintaan dan kehendak masyarakat yang semakin matang.
Hari ini, rakyat Malaysia mengharapkan lebih daripada institusi awam. Mereka mengharapkan ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan yang lebih daripada sesebuah institusi. Lebih penting lagi, mereka mahu memastikan bahawa keadilan bukan sahaja dilaksanakan, malah dapat dilihat dan dirasai benar-benar dilaksanakan.
Ungkapan itu bukan sekadar kata-kata klise. Ia menggambarkan hakikat sebenar bahawa keyakinan rakyat tidak hanya bergantung kepada keputusan yang dibuat, tetapi juga kepada keyakinan bahawa keputusan itu dicapai melalui proses yang bebas, adil dan berintegriti.
Kemahuan seperti itu bukanlah unik dan hanya wujud di Malaysia sahaja. Demokrasi berperlembagaan di seluruh dunia sentiasa menilai semula susunan institusi mereka bagi memperkukuh keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang.

Walaupun pendekatan setiap negara berbeza, matlamatnya tetap sama – memastikan keadilan dilaksanakan secara bebas, telus dan tanpa sebarang keraguan terhadap integritinya.
Saya masih ingat perbincangan saya dengan Peguam-Peguam Negara Kanada dan Australia. Pandangan mereka begitu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada saya.
Mereka berkongsi bahawa apabila perananan peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan di negara masing-masing, perubahan itu bukan sekadar memperjelas bidang kuasa setiap institusi.
Lebih penting, ia memperkukuh budaya akauntabiliti dalam pentadbiran awam kerana setiap institusi mempunyai tanggungjawab yang jelas serta saling menghormati sempadan perananan masing-masing.
Pengalaman itu mengukuhkan keyakinan saya bahawa reformasi institusi bukanlah tentang meniru model negara lain secara bulat-bulat.
Sebaliknya, kita belajar daripada pengalaman demokrasi yang telah melalui proses yang sama, lalu menyesuaikannya dengan realiti, sejarah dan kerangka perlembagaan Malaysia.
Iktiraf bidang kuasa berbeza
Ketika ini, peguam negara memikul dua tanggungjawab perlembagaan yang berbeza.
Pertama, sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan yang memberikan nasihat kepada jemaah menteri, mewakili kdalam prosiding sivil dan membantu proses penggubalan undang-undang.
Kedua, sebagai pendakwa raya yang mempunyai kuasa budi bicara untuk memutuskan sama ada sesuatu pendakwaan jenayah perlu dimulakan, diteruskan atau dihentikan berdasarkan undang-undang serta keterangan yang ada.
Kedua-dua fungsi tersebut sama pentingnya. Kedua-duanya memerlukan tahap profesionalisme dan integriti tertinggi. Namun kedua-duanya diwujudkan bagi memenuhi tujuan perlembagaan yang berbeza.
Sebagai penasihat undang-undang kerajaan, peguam negara perlu bekerjasama rapat dengan cabang eksekutif bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan mengikut lunas undang-undang.

Sebaliknya, pendakwa raya menjalankan kuasa yang memberi kesan secara langsung terhadap kebebasan individu, pertanggungjawaban jenayah dan pentadbiran keadilan.
Oleh itu, kebebasan dalam membuat keputusan pendakwaan bukan sahaja perlu wujud dari sudut pelaksanaannya, malah mesti diyakini oleh masyarakat.
Cadangan reformasi ini mengiktiraf perbezaan tersebut.
Dengan mewujudkan dua institusi yang berasingan, setiap satu dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tanggungjawab masing-masing dalam kerangka tadbir urus yang lebih jelas dan sesuai dengan fungsi yang dipikul.
Justeru, reformasi ini bukan bertujuan melemahkan mana-mana institusi. Sebaliknya, ia bertujuan memperkukuh kedua-duanya.
Lebih penting lagi, reformasi ini berpaksikan satu prinsip yang amat mendasar. Institusi negara tidak boleh bergantung kepada kehebatan atau integriti seseorang individu semata-mata.
Individu akan silih berganti, kerajaan akan berubah dan politik akan terus berkembang. Namun institusi negara mesti kekal utuh, diyakini dan berfungsi dengan baik tanpa mengira siapa yang menerajuinya. Itulah ukuran sebenar sebuah demokrasi yang matang.
Harapan integriti institusi awam
Kepercayaan terhadap institusi juga tidak boleh dibina dalam sehari melalui pindaan undang-undang semata-mata. Ia dibentuk sedikit demi sedikit melalui tadbir urus yang baik, reformasi yang konsisten dan keyakinan rakyat bahawa institusi negara diwujudkan untuk berkhidmat kepada negara, bukannya kepada mana-mana kerajaan.
Sebab itulah reformasi perlembagaan memerlukan masa, penelitian dan kesabaran. Ia tidak wajar dilaksanakan dengan tergesa-gesa hanya untuk memenuhi tuntutan politik jangka pendek.
Pada masa yang sama, ia juga tidak boleh ditangguhkan semata-mata kerana perubahan itu sukar dilaksanakan.
Menyedari kepentingan reformasi, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mengadakan sesi libat urus secara holistik bersama bekas-bekas hakim, pendakwa raya, pengamal undang-undang, ahli akademik, pakar-pakar perlembagaan, pertubuhan masyarakat sivil serta pakar-pakar antarabangsa.
Pendekatan ini bukan sekadar memenuhi keperluan proses, ia mencerminkan keyakinan bahawa sesuatu reformasi perlembagaan akan menjadi lebih kukuh apabila dibentuk berasaskan kepakaran, pengalaman dan penyertaan pelbagai pihak.

Apabila parlimen membahaskan cadangan bersejarah ini, saya berharap perbahasan yang berlangsung akan melangkaui batas politik kepartian kerana perlembagaan bukan milik mana-mana kerajaan. Perlembagaan adalah milik negara!
Oleh sebab itu, setiap pindaan yang dicadangkan mesti dinilai berdasarkan kepentingan negara untuk jangka panjang, bukannya keuntungan politik jangka pendek.
Pada akhirnya, tanggungjawab memperkukuh institusi tidak hanya terletak di bahu ahli parlimen. Reformasi hanya akan berjaya apabila rakyat memahami, menyokong dan menghargai kepentingannya.
Masyarakat yang mengharapkan integriti daripada institusi awam juga perlu mengiktiraf bahawa usaha memperkukuh institusi ialah pelaburan untuk masa depan negara, walaupun hasilnya mungkin tidak dapat dilihat serta-merta.

Beberapa dekad dari sekarang, rakyat mungkin tidak lagi mengingati setiap ucapan yang disampaikan atau setiap fasal yang dibahaskan di Dewan Rakyat. Mereka juga mungkin tidak lagi mengingati siapa yang menjadi kerajaan atau pembangkang ketika reformasi ini diluluskan.
Namun mereka akan terus menikmati manfaat daripada institusi yang lebih kukuh, lebih jelas perananannya dan lebih diyakini.
Sejarah lazimnya tidak mengingati siapa yang paling lantang berhujah. Sebaliknya sejarah mengingati siapa yang berani membina institusi yang mampu bertahan merentasi zaman.
Jika reformasi ini berjaya memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan, maka parlimen ini akan dikenang bukan semata-mata kerana ia berjaya memisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya, tetapi kerana ia berani menegaskan semula satu prinsip yang menjadi asas kepada setiap demokrasi yang matang – bahawa kekuatan sesebuah negara tidak terletak pada pemusatan kuasa, tetapi pada kepercayaan yang dibina oleh institusi-institusinya.
Itulah legasi yang wajar kita wariskan kepada generasi akan datang.
AZALINA OTHMAN SAID ialah Ahli Parlimen Pengerang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





