GLOBAL | Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh kanak-kanak berkembang pada kadar lebih tiga kali ganda berbanding orang dewasa.
Dapatan itu diperoleh daripada data baru yang diperoleh di 10 negara.
"AI sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
“Ia semakin mempengaruhi kehidupan seharian dan kini membentuk zaman kanak-kanak di seluruh dunia, sama ada membawa kebaikan mahupun keburukan," katanya dalam kenyataan menjelang Dialog Tadbir Urus AI Global pertama.
Agensi itu menganggarkan sekurang-kurangnya 20 juta kanak-kanak pernah menggunakan AI, dengan lebih dua juta – atau seorang daripada setiap 10 kanak-kanak – mengakui mereka mendapatkan nasihat daripada teknologi itu mengenai perkara yang membimbangkan mereka.
Dianggarkan 13 juta kanak-kanak pula menggunakan AI bagi membantu proses pembelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah.
"Kanak-kanak lebih terdedah kepada sistem AI termasuk cara ia direka bentuk, model perniagaan yang menjadi asasnya serta bagaimana data peribadi mereka digunakan, namun mereka mempunyai kuasa yang jauh lebih terhad untuk mengelakkan atau mencabar sistem berkenaan," menurut kenyataan itu.
Unicef menambah kanak-kanak merupakan golongan yang paling awal merasai kesan kelemahan tadbir urus AI dan akan menanggung akibatnya untuk tempoh yang paling lama.
Menurut agensi itu lagi, satu per tiga daripada kanak-kanak di 10 negara yang ditinjau menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI untuk melakukan penipuan, memperdaya orang lain atau menyebarkan maklumat palsu, manakala satu per empat lagi bimbang imej atau video mereka dimanipulasi menjadi kandungan lucah menggunakan teknologi deepfake.
"Terlalu banyak sistem AI digunakan oleh kanak-kanak tanpa perlindungan yang mencukupi, seolah-olah aspek keselamatan hanya difikirkan kemudian," menurut agensi itu.
Justeru Unicef menggesa kerajaan, sektor swasta dan rakan kerjasama mengintegrasikan hak kanak-kanak dalam tadbir urus AI global termasuk dengan melabur dalam penyelidikan mengenai risiko AI terhadap kanak-kanak, memperkukuh undang-undang bagi membanteras eksploitasi seksual yang menggunakan AI, memastikan pembangunan AI yang selamat dan telus, meningkatkan literasi AI serta merapatkan jurang digital.
"Ini merupakan detik yang amat penting. Keputusan yang dibuat mengenai AI hari ini akan menentukan aspek keselamatan, privasi, kesejahteraan serta peluang yang saksama untuk kanak-kanak bagi beberapa dekad akan datang," katanya.





