Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail menegaskan hubungannya dengan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tetap baik meskipun bertembung dalam PRK DUN Nenggiri.
Sepanjang kempen 14, Mohd Rizwadi berkata, hari ini dia bertemu dengan calon Mohd Azmawi di pusat mengundi di Kampung Bertam Lama, Gua Musang pagi ini.
Kedua-dua mereka yang merupakan sekampung, menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi yang sama Tadika Sri Bakawali sekitar jam 8.40 pagi.
"Alhamdulillah hari ini dapat bertemu (calon BN), sepanjang 14 hari berkempen tidak bertemu di pusat mengundi.
"Kami (Mohd Azmawi adalah) sahabat, rumah dekat, kami tetap bersahabat tak ada apa masalah antara kami," katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Kampung Bertam Lama, Gua Musang.
Mohd Rizwadi keluar mengundi ditemani isteri Che Mariam Che Noh.
Terdahulu, Mohd Azmawi yang hadir membuang undi turut berkongsi sentimen sama, menegaskan bahawa hubungannya dengan Mohd Rizwadi tetap baik.
Dalam pada itu Mohd Rizwadi menyeru orang ramai keluar mengundi sebagai satu proses "luahan perasaan" bagi menyatakan sokongan.
"Yang marah simpan dulu dan ambil kepentingan masyarakat, mengundilah tempat kita luah perasaan," katanya lagi.





