Kewujudan rangkaian keluarga dan saudara-mara yang telah menetap di Malaysia dikenal pasti menjadi faktor utama yang menarik kemasukan pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya serta warga Bangladesh dan Myanmar, melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata golongan berkenaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi akhir kerana mereka mempunyai tempat bergantung untuk memulakan kehidupan sebaik tiba.
Katanya faktor berkenaan menjadi tarikan utama, khususnya bagi etnik Rohingya sehingga mereka sanggup meredah pelbagai laluan bagi memasuki negara ini secara haram.
“Bagi etnik Rohingya khususnya, faktor keluarga ini memainkan perananan besar dalam keputusan mereka untuk memasuki Malaysia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Yusoff menjelaskan isu kemasukan pendatang tanpa izin melalui sempadan Malaysia-Thailand adalah cabaran yang dihadapi pihak berkuasa hampir setiap hari.
Sehubungan dengan itu, dia mengarahkan semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di Kelantan supaya mempergiat operasi membanteras pendatang tanpa izin dan tidak hanya bergantung kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) semata-mata.
Menurutnya berdasarkan pemerhatian polis, kebanyakan pendatang berkenaan menggunakan Thailand sebagai negara transit sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Mengulas mengenai kewujudan komuniti Rohingya di Kelantan, Mohd Yusoff berkata polis mengesan terdapat petempatan etnik itu di beberapa lokasi termasuk di daerah Tanah Merah.
Bagaimanapun, tambahnya, keadaan di kawasan petempatan berkenaan masih terkawal dan berada di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Walaupun urusan berkaitan pendatang lazimnya berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, kata Mohd Yusoff, polis tetap memainkan perananan dalam aspek kawalan keselamatan dan pemantauan terhadap komuniti warga asing di negeri itu.
“Pemantauan penting bagi memastikan sebarang unsur jenayah atau masalah sosial dapat dicegah dan tidak menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya di negara ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.
Katanya walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.





