Polis memanggil aktivis hak asasi manusia di Sabah, Mukmin Nantang untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan, yang dipercayai ada kaitan dengan kes pengusiran Bajau Laut di Semporna baru-baru ini.
Menurut rakan aktivis berkenaan, Asraf Sharaf, yang merupakan penyelaras Bersih Sabah, Mukmin diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di Sabah Khamis ini.
“(Kami percaya) ini mungkin sebab sebaran video rumah Bajau Laut dimusnahkan dua minggu lepas.
"Mukmin akan diwakili peguam Sherzali Asli dari Pusat Hak Asasi Manusia Sabah (semasa memberi keterangan)," kata Asraf kepada Malaysiakini.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna Mohd Farhan Lee Abdullah untuk meminta pengesahan dan mengulas lanjut.
Mukmin ialah pengasas NGO Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, dan memainkan perananan penting dalam mengetengahkan isu pengusiran masyarakat Bajau Laut di Semporna awal bulan ini.
Dia telah membawa kepada perhatian umum mengenai dakwaan operasi pihak berkuasa untuk mengusir penduduk berkenaan dengan merobohkan rumah atas air milik mereka.
Borneo Komrad juga telah berkongsi beberapa video yang menunjukkan tindakan tersebut.
Antaranya video yang memaparkan beberapa lelaki sedang menolak sebuah rumah yang usang sehingga roboh, serta menunjukkan seorang perempuan merintih kerana kehilangan tempat tinggal dan memohon belas kasihan daripada "pihak di atasan".





