PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa penurunan ketara dalam Indeks Kebebasan Media negara tahun ini disebabkan terikat dengan hasrat Majlis Raja-raja untuk tidak dikritik secara terbuka.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan membenarkan rakyat bebas bersuara, namun mereka perlu menghormati kedudukan Raja-raja Melayu.

“Mengenai indeks kebebasan media, kita juga terikat masalah 3R (kaum, agama, raja-raja)
“Sementara kita izinkan orang berbicara, tetapi sidang Raja-raja Melayu itu sangat tegas. Jadi kita juga terikat dengan pandangan Raja-raja bahawa mereka tidak mahu dan mengizinkan sebarang kecaman di khalayak tanpa tindakan.
“Kalau dibangkitkan umpamanya kecaman-kecaman terhadap saya itu berbakul-bakul, tak ada tindakan, tapi kalau ada laporan polis biar polis yang uruskan. Saya a tak pedulikan sangat hal-hal sedemikian,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa Waktu Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang).
Ahli parlimen pembangkang itu membangkitkan isu penarafan kerajaan yang rendah berhubung reformasi institusi dan kebebasan media.





