Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia terus melonjak meskipun harga minyak global turun hari ini, mencecah rekod tertinggi baru iaitu RM6.72 seliter untuk tempoh 9 April hingga 15 April.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kenaikan 70 sen itu adalah kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan harga purata petrol dan diesel dari minggu sebelumnya, bukannya harga harian semasa.
"Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras yang lebih tinggi, yang telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” kata kementerian itu.
Kementerian Kewangan juga mengumumkan bahawa di bawah Mekanisme Penetapan Harga Automatik, harga runcit petrol RON97 akan dinaikkan sebanyak 40 sen kepada RM5.35 seliter, manakala harga runcit petrol RON95 akan dinaikkan sebanyak 40 sen RM4.27 seliter.
Selain itu, Putrajaya mengekalkan harga subsidi bahan api yang disasarkan untuk rakyat dan mereka yang berada dalam sektor tertentu, dengan RON95 berharga RM1.99 seliter di bawah skim subsidi Budi95 dan diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter untuk pengguna yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bahan api di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi akan berharga RM2.15 seliter dan RM2.05 seliter untuk mereka yang tertakluk kepada Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi.
Sebagai langkah sementara susulan kenaikan harga diesel, kerajaan akan mengekalkan bantuan tunai tambahan Budi Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan kepada RM300 untuk penerima di bawah Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada.
"Kerajaan Madani akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya.
Penurunan harga minyak global hari ini susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan AS, selepas lima minggu peperanangan yang telah mencetuskan krisis tenaga global.





