Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng meminta Ketua Polis Negara Razarudin Husain untuk mengetuai sendiri pasukan petugas khas membanteras sindiket penipuan.
Bekas menteri kewangan itu juga mahu bank, yang cuai atau acuh tidak acuh terhadap skim penipuan berkongsi tanggungjawab atas kerugian yang dialami oleh mangsa penipuan.
Komennya dibuat susulan laporan berita bahawa pemain badminton beregu campuran negara Lai Pei Jing hilang hampir semua simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan.
"Rakyat Malaysia melahirkan rasa simpati dan bersedih di atas jenayah siber yang menimpa pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing, yang menjadi mangsa penipuan yang menyebabkan beliau hampir muflis sama sekali.
"Lai telahpun kehilangan sebahagian besar daripada simpanan beliau akibat penipuan ini, dan jelas sekali beliau mengalami tekanan emosi selepas berdekad-dekad hasil simpanan daripada kerja keras lesap dek penipu yang tidak berhati perut yang mengambil kesempatan di atas kebaikannya," tambahnya.
Lim berkata usaha polis pada masa lalu tidak berkesan terhadap sindiket penipuan kerana kerugian meningkat daripada RM700 juta pada 2021 kepada RM1.3 bilion daripada 30,000 kes penipuan dalam talian tahun lepas.

"Tindakan tegas dan tuntas mesti diambil untuk menghentikan jenayah siber dan mencegah kerugian daripada meningkat daripada rekod kerugian RM 1.3 bilion tahun 2023 ke tahap yang lebih tinggi.
"Hanya penglibatan langsung Ketua Polis Negara dapat membantu bagi menghalang lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak bersalah daripada menjadi mangsa kepada penjenayah dan penipu yang tidak berhati perut ini,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Sementara itu, Lim berkata perlu ada "rangka kerja tanggungjawab bersama" yang akan memperuntukkan tanggungjawab untuk kerugian penipuan dalam kalangan institusi kewangan, pengendali telekomunikasi dan pengguna.
"Di bawah pelan tersebut kelak, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi perlu membuat pembayaran kepada mangsa jenayah siber ini mengikut syarat yang ditetapkan, dalam kes-kes yang jelas menunjukkan pelan tersebut tidak dipatuhi dan dilanggar.
:Saya telahpun membincangkan idea ini dengan Timbalan Menteri Undang-undang M Kulasegaran yang menunjukkan bahawa terdapat pindaan akta yang diperlukan dan mungkin dapat dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang pada Jun-Julai 2024," katanya.





