25.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Gaza hadapi peningkatan risiko kesihatan akibat kehadiran tikus

    Shopee Sale

    Menteri Kesihatan Majed Abu Ramadan pada Jumaat memberi amaran mengenai peningkatan risiko kesihatan yang mengancam penduduk Semenanjung Gaza berikutan kehadiran tikus yang meluas susulan kemerosotan alam sekitar yang teruk akibat kemusnahan besar-besaran serta pengumpulan serpihan runtuhan dan sisa tidak dirawat.

    Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Abu Ramadan berkata keadaan semasa di Gaza mewujudkan persekitaran yang subur bagi pembiakan tikus, sekali gus meningkatkan kebarangkalian penularan penyakit serius yang boleh berjangkit secara langsung melalui gigitan atau secara tidak langsung melalui air kencing, najis dan parasit seperti kutu.

    Antara penyakit yang dikenal pasti termasuk hantavirus, wabak, leptospirosis, salmonella dan tularemia.

    Abu Ramadan menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta badan kesihatan antarabangsa supaya campur tangan segera dengan menyediakan bahan kawalan tikus serta memperkukuh langkah pencegahan dan pembendungan.

    MENARIK:  ‘Roh perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi kekal bersama kita’

    Beliau berkata lebih sejuta penduduk kini hidup dalam keadaan rapuh, termasuk tinggal di khemah atau di kawasan terbuka, sekali gus meningkatkan pendedahan mereka kepada ancaman kesihatan berkenaan.

    Beliau menambah keadaan kesihatan kanak-kanak semakin kritikal, dengan ribuan mengalami kecacatan kekal akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, termasuk kehilangan anggota badan atau deria, selain peningkatan kes kekurangan zat makanan yang meningkatkan kerentanan terhadap penyakit serta kadar kematian.

    Menteri itu menegaskan keadaan alam sekitar dan kesihatan yang teruk dihadapi bayi dan kanak-kanak di Gaza serta kesan jangka panjangnya, sambil memperbaharui seruannya kepada masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan perlindungan kesihatan dan memperbaiki keadaan hidup di wilayah itu.

    -Bernama - Wafa

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah