Kabinet memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam acara bukan Islam di rumah ibadat mereka.
Bagaimanapun, nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Kabinet juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusanya dahulu.
PANDUANKINI | Apa sebenarnya garis panduan acara agama yang heboh itu?
Keputusan mesyuarat itu diumumkan oleh menteri agama Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama sebentar tadi.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kontroversi rancangan penggubalan garis panduan baru, antaranya supaya penganjur mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama Islam, jika peserta melibatkan orang Islam.
Na’im dan Aaron tidak menyatakan dengan jelas sama ada rancangan penggubalan garis panduan baru itu dibatalkan.
Bagaimanapun terdapat media Cina, memetik sumber, yang melaporkan bahawa rancangan itu sebenarnya dibatalkan.
Sementara itu, Na’im dan Aaron juga berkata Kementerian Perpaduan akan terus
menyemarakkan pelaksanaan dialog pelbagai agama untuk membina kesepaduan nasional.
Mesyuarat bulan ini akan mendengar pandangan 24 wakil agama, termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.
“Kerajaan Madani menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.





