Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yakin MCA akan kekal setia bersama BN.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Akmal berkata rasa tidak tidak puas hati dalam kalangan parti komponen BN adalah perkara biasa sejak mereka bekerjasama puluhan tahun lalu.
"Kita ni bukan lagi sahabat, kita dah macam adik-beradik . MCA, MIC dan Umno.
"Tentunya ketidakpuasan hati berlaku. Adik-beradik pun kita bergaduh tapi mesti diselesaikan dengan cara baik.
"Pemuda BN yang ada semua ni MCA, MIC dan PBRS, kita dałam keadaan yang sangat baik dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Subang di bangunan Umno Selangor hari ini.
Akmal berkata hubungannya dengan Presiden MCA, Wee Ka Siong juga baik dan tidak ada ura-ura parti itu akan meninggalkan BN.
“Saya percaya MCA akan kekal setia bersama sahabat kita," tambahnya.
Semalam, Malaysiakini memetik sumber melaporkan bahawa akar umbi MCA memberi tekanan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan meninggalkan BN.
Menurut sumber daripada kepimpinan tertinggi parti itu, MCA tidak lagi gembira dengan kedudukan parti itu dalam BN selepas menyertai gabungan itu sejak 72 tahun lalu.
Bahkan sumber berkata langkah tersebut diperkirakan wajar dibuat sebelum terlambat.
Sumber itu juga menambah tekanan terhadap kepimpinan MCA untuk membuat keputusan drastik bertambah kuat selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan terus bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
[Berita penuh menyusul]





