Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng telah mengingatkan kerajaan bahawa sebarang percubaan untuk menyekat perhimpunan antirasuah pada Sabtu ini hanya akan mencemarkan kredibiliti Pakatan Harapan (PH).
"Ia akan mengasingkan penyokong kita sendiri, mewujudkan tindak balas politik yang tidak perlu," kata ahli parlimen Kepong itu kepada Malaysiakini hari ini.
Awal hari ini, sekretariat perhimpunan itu mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Jan, meski polis memberi amaran.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan polis yang mendesak penganjur perhimpunan meminta kebenaran sebelum berkumpul di Dataran Merdeka.
Saifuddin berkata, kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu diperoleh terlebih dahulu.
Begitu juga, katanya, sekiranya perhimpunan diadakan di luar pusat beli belah Sogo, kebenaran daripada pemilik Sogo perlu diperoleh.
Mengulas lanjut, Lim berkata hak untuk berhimpun secara aman adalah asas kepada mana-mana demokrasi, sambil menambah penganjur perhimpunan hanya melaksanakan hak asasi mereka.
"Pihak berkuasa harus mempertimbangkan semula keputusan mereka kerana menyekat perhimpunan atau menyasarkan penganjur akan menghantar mesej yang membimbangkan tentang komitmen kerajaan Madani terhadap nilai demokrasi," tambahnya.
Bersih dan Suaram, dalam satu kenyataan bersama sebelum ini, turut mengecam pihak berkuasa atas tindakan mereka berhubung perhimpunan yang direncana itu.





