32.5 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    BN lancar manifesto Johor, ikrar 63 komitmen

    Shopee Sale

    Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menggariskan 63 tekad berteraskan enam Teras Maju Johor bagi mengekalkan kestabilan dan meneruskan momentum kemajuan negeri.

    Manifesto bertemakan “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan” itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir serta rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang empat tahun lepas.

    Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kepercayaan yang diberikan Bangsa Johor kepada BN sebelum ini telah membolehkan pelbagai usaha pembangunan dan penambahbaikan dilaksanakan untuk rakyat.

    “Syukur Alhamdulillah. Empat tahun lalu, Bangsa Johor memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah kita usahakan dan capai bersama.

    “Berbekalkan pengalaman serta rekod pencapaian tersebut, saya memperkenalkan Manifesto Barisan Nasional Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam Teras Maju Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

    Onn Hafiz berkata enam teras berkenaan merangkumi tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta pembangunan Orang Muda Johor.

    Daripada keseluruhan 63 tekad itu, BN Johor mengetengahkan 11 inisiatif yang menarik dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, merangkumi kebajikan, perumahan, pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

    Antaranya ialah memperkukuh Bantuan Kasih Johor secara bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui kaedah penyasaran yang lebih berkesan.

    Selain itu, katanya, BN Johor turut menawarkan Skim Bayaran Deposit Sewaan Rumah Orang Muda Johor untuk membantu golongan di bawah 35 tahun yang berdepan kesukaran menyediakan kos awal untuk menyewa kediaman.

    Bagi meningkatkan pemilikan rumah, beliau berkata, dana RM100 juta akan disediakan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah membina Rumah Subsidi Johor di atas tanah sendiri, termasuk lot generasi kedua FELDA.

    Pada masa sama, Bantuan Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah akan diteruskan bagi membantu rakyat pada setiap peringkat keperluan perumahan, daripada menyewa sehingga memiliki kediaman sendiri.

    Dalam aspek pembangunan ekonomi, BN Johor bertekad mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu dan berkualiti, termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium untuk Anak Johor.

    Onn Hafiz berkata pertumbuhan ekonomi Johor perlu diterjemahkan kepada pekerjaan yang menawarkan pendapatan, kemahiran dan masa depan lebih baik kepada rakyat tempatan, dengan Anak Johor menjadi penerima manfaat utama.

    MENARIK:  Kelantan diarah bayar tuntutan syarikat iklan RM1.2 juta

    Sementara itu bagi mengurangkan kos permulaan perniagaan, BN Johor menawarkan pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil, selain menambah dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta melalui kerjasama institusi kewangan.

    Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor pula akan diperkasa untuk menyertai rantaian bekalan pelaburan strategik menerusi program padanan perniagaan, pembangunan vendor, latihan keupayaan dan pendigitalan.

    Manifesto itu turut memberi tumpuan kepada pendidikan menerusi pengukuhan Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persijilan profesional serta latihan kemahiran masa hadapan.

    BN Johor juga bertekad meneruskan Insentif Mahasiswa Anak Johor sebanyak RM200 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti.

    Satu lagi inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Semarak Isya’ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri sebagai kesinambungan kepada Program Semarak Subuh bagi mengimarahkan masjid serta surau melalui pengisian ilmu, aktiviti kerohanian, kebajikan dan kesukarelawanan.

    “Semarak Isya’ juga bertujuan mendekatkan golongan muda, keluarga dan masyarakat setempat dengan institusi masjid dan surau dalam suasana yang lebih mesra serta dekat dengan rutin harian mereka,” katanya.

    Onn Hafiz berkata kemajuan Johor perlu diseimbangkan antara pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembinaan nilai dalam masyarakat menerusi tekad yang dirangka berasaskan keperluan sebenar rakyat.

    “Tekad ini bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang telah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju. BN Johor tidak bermula daripada kosong kerana asas pembangunan serta kestabilan negeri telah dibina sepanjang empat tahun lepas.

    “Benih yang telah disemai kini mula membuahkan hasil. Jangan biarkan momentum kemajuan Johor terhenti di pertengahan jalan. Kita telah membina asasnya, kita telah melihat hasilnya dan kini tiba masanya untuk kita menyempurnakannya,” katanya.

    Onn Hafiz turut menyeru Bangsa Johor memberikan mandat penuh kepada BN bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan dengan lebih tersusun, stabil dan berkesan demi masa depan Johor yang lebih makmur serta sejahtera.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah