31.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bicara kes Muhyiddin: Tengku Zafrul bagi keterangan 6 Julai

    Shopee Sale

    Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Julai ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu selepas Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R.Harshini yang juga saksi pendakwaan ke-10 selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

    “Pada tarikh perbicaraan pada 6 Julai ini kami bercadang untuk memanggil Tengku Zafrul yang merupakan saksi pendakwaan ke-11," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Mahadi Abdul Jumaat, Noralis Mat dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

    Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memohon supaya pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi Tengku Zafrul sebelum Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu dipanggil memberi keterangan pada 6 Julai.

    Noor Ruwena kemudian mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi Tengku Zafrul pada atau sebelum 20 Jun ini kepada pihak pembelaan.

    Pada prosiding itu, Wan Shaharuddin memohon supaya tarikh perbicaraan pada esok dilapangkan berikutan seorang saksi pendakwaan tidak dapat hadir kerana telah memohon cuti awal.

    Noor Ruwena turut meminta pihak-pihak memberikan keutamaan kepada kes tersebut kerana ia kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan umum selain menetapkan tarikh tambahan untuk perbicaraan kes itu pada 1, 2, 3 dan 14 Sept ini.

    "Saya berharap kes pendakwaan ini dapat diselesaikan pada 14 Sept sebelum kedua-dua pihak memfailkan hujahan, selain mahkamah juga perlu meneliti kesemua keterangan (saksi),” katanya.

    Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.

    MENARIK:  Bekas pemimpin Bersatu Johor parah disyaki tertembak diri sendiri

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

    Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah