Bersatu hari ini menggantung keahlian Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga, Kelantan, Mohd Almidi Jaafar bagi tempoh dua penggal pengundian berkuat kuasa hari ini.
Dalam notis berasingan dikeluarkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin parti, Mohd Radzi Manan, berkata, Muhammad Islahuddin didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

"Dengan penggantungan itu, maka YB secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.
"Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," menurut notis itu.
Sementara itu, Mohd Radzi, bekata, Adun Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar yang juga ketua bahagian Jeli turut digantung.
“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa YB digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pengundian Bersatu,” katanya.
Mohd Almidi juga dibolehkan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.
Sementara itu, Adun Kok Lanas Mohamaed Farid Mohamed Zawawi dipecat keahlian Bersatu berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu notis, Mohd Radzi Manan, memaklumkan bahawa Mohamaed Farid yang juga adalah timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan didapati melanggar perlembagaan dan kod etika dan tatakelakuan ahli parti.
"Lembaga Disiplin bersidang dan memutuskan YB Datuk dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli," menurut notis itu.
Dalam notis berasingan, Mohd Radzi turut memaklumkan Exco Pemuda (Armada) Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat keahlian partinya.
Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat dua Adun dan menggantung lima Ahli Parlimen.
Antara yang dipecat ialah Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Sementara itu, lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).





