Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan akan melawat Batu Caves petang esok, menurut Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD KL).
Menurut mesej WhatsApp daripada Pengerusi SMMTD KL, R Nadarajah, yang dikongsi dengan Malaysiakini, Anwar dijangka melawat kuil Hindu ikonik itu pada jam 3 petang.
Batu Caves begitu sinonim dengan perayaan Thaipusam yang akan berlangsung pada 11 Januari.
"Kepada ahli-ahli lembaga pengurusan SMMTD KL, rakan-rakan dan penganut sekalian, Vanakkam.

"Perdana menteri yang dikasihi akan melawat Batu Caves seperti yang diminta oleh pihak pengurusan kuil esok jam 3.00 petang.
"Beliau akan disambut dengan kalungan bunga di pintu masuk. Lawatan amat bermakna ini akan membawa manfaat kepada komuniti India kita. Sila hadir tanpa gagal. Terima kasih," kata mesej tersebut.
Lawatan Thaipusam?
Tidak jelas sama ada Anwar akan menghadiri Thaipusam atau tidak, kerana beliau juga tidak menghadiri perayaan tahun lalu.
Pada 2023, Anwar dijadualkan menghadiri perayaan Thaipusam tetapi terpaksa membatalkan lawatan pada saat akhir kerana tidak sihat.
“Anwar sangat menantikan perayaan ini, tetapi tidak dapat hadir kerana jatuh sakit pada saat akhir.
"Namun, beliau meminta saya mengatur pertemuan dengan pihak pengurusan kuil pada tarikh lain kerana ingin bertemu dengan mereka semua,” kata bekas menteri sumber manusia, V Sivakumar ketika itu.
Lawatan Anwar ke Batu Caves esok berlangsung di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai cadangan garis panduan baru berkaitan lawatan umat Islam ke rumah ibadat bukan Islam.
Perdana menteri sebelum ini berkata kabinet akan membincangkan isu tersebut esok.
[Baca berita asal]





