PRN NEGERI SEMBILAN | Menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan, corak pemikiran pengundi masyarakat India memperlihatkan gambaran berbelah bahagi.
Di satu pihak, wujud kekecewaan mendalam terhadap prestasi pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, manakala di satu pihak lagi, ada kebimbangan serta kekeliruan terhadap jajaran politik baru BN-PN.
Tinjauan Malaysiakini di kawasan bandar dan pinggir bandar Seremban mendapati rata-rata pengundi India berdepan krisis keyakinan, sama ada mahu mengekalkan undi kepada kerajaan, beralih arah, atau tidak keluar mengundi akibat kelelahan politik (political fatigue).
Tinjauan ini dibuat secara rawak dan mungkin tidak melambangkan sentimen sebenar kerana melibatkan responden yang terhad.
Ghairah yang padam
Seorang ahli perniagaan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau yang hanya mahu dikenali sebagai Jaya berkata keghairahan politiknya sudah lama padam.
Lelaki 48 tahun itu secara terbuka berkata enggan keluar mengundi.
"Saya berasa tidak perlu keluar mengundi kerana undi BN, PN atau PH sama sahaja, memandangkan selepas PRN semua akan jadi satu pasukan.
"Jadi tidak ada gunanya untuk memilih parti mana yang mahu diundi," katanya merujuk kepada keanjalan kerjasama antara parti politik pada masa ini.
Bagaimanapun Jaya menganggap Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai seorang yang bagus kerana membantu semua orang tanpa mengira kaum.
Namun, tindakan Aminuddin yang kini memilih bertanding DUN Linggi menyebabkan dia mungkin menghadapi kesukaran untuk menang di kawasan baru tersebut.
Komposisi kaum
Komposisi kaum dalam daftar pengundi Negeri Sembilan mempunyai satu ciri yang membezakannya daripada kebanyakan negeri.
Mengikut Daftar Pemilih rasmi PRN16 (889,490 pengundi), pecahannya ialah Melayu 57.2 peratus, Cina 25.3 peratus, dan India 14.9 peratus. Selebihnya Orang Asli 0.9 peratus dan lain-lain 1.7 peratus.
Ia menjadikannya antara nisbah pengundi India tertinggi di Malaysia.
Di sepuluh kerusi, pengundi India melebihi 20 peratus daftar pengundi–cukup besar untuk menjadi penentu dalam pertarungan sengit.
Berdasarkan data SPR, komuniti India membentuk komposisi pengundi yang signifikan dengan kadar tertinggi dicatatkan di DUN Jeram Padang pada 33 peratus, diikuti DUN Seremban Jaya sebanyak 28 peratus.
Di DUN Sri Tanjung dan DUN Mambau serta Lukut pula, peratusan pengundi India masing-masing mencatatkan 27 peratus dan 26 peratus, diikuti DUN Bukit Kepayang sebanyak 22 peratus.
Janji masih ‘kosong’
Kekecewaan terhadap pentadbiran persekutuan turut disuarakan seorang pemilik kedai runcit dari Seremban yang hanya mahu dikenali sebagai Anbarasan.
Anbarasan menegaskan bahawa PH mesti memperbaiki banyak perkara memandangkan kepimpinannya membuat banyak janji tetapi sehingga kini masih “kosong” tindakan.
"Lihat isu sensitif seperti isu tempat ibadat, yang sepatutnya jangan disebut “haram”.
“Isu kuil perlu diselesaikan dengan baik tanpa mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi merayu sokongan pengundi India di Negeri Sembilan dengan meminta masyarakat itu memaafkan kesilapannya menggunakan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat yang dibina atas tanah yang dipertikaikan.
Sementara itu, meluahkan rasa kesal, Anbarasan berkata dia masih menyokong PH dan menganggap gabungan BN–Umno, MCA serta MIC– masih boleh diterima.
"Tapi, bila PAS, sorry-lah. No way (tak mungkin) nak undi mereka," katanya.
Beralih pada BN
Di DUN Seremban Jaya, sentimen enggan keluar mengundi mula kelihatan apabila pengundi berasa diabaikan dari sudut pembangunan infrastruktur asas.
Kanna, 37, menegaskan dia akan bertukar sokongan kepada BN kerana kecewa dengan PH yang didakwanya penuh dengan pemimpin yang “angkuh”.
"Terdapat banyak isu tempatan di Seremban Jaya yang tidak menemui jalan penyelesaian.
"Sebagai contoh ketiadaan perhentian bas di Taman Seremban Jaya khususnya Fasa 9, selain tiada kemudahan cawangan bank mahupun balai polis sehingga memaksa penduduk berulang-alik ke Senawang," katanya.
Katanya, kebanyakan penduduk di Taman Seremban Jaya kesal kerana PH yang memerintah sejak 2018 didakwa tidak mahu menyelesaikan masalah berkenaan.
Tradisi keluarga
Pandangan berbeza disuarakan oleh S Kogilan, 30, dari Seremban yang mahukan kerajaan PH kekal memerintah.
Menurut Kogilan yang aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan PH di kawasannya banyak membantu dan memberikan sokongan berterusan kepada pergerakan NGO, sekali gus membuatkan mereka kekal memilih PH pada pilihan raya ini.

Sementara itu, faktor tradisi keluarga kekal menjadi pegangan sebilangan pengundi.
Thirun, 35, pula yang mengundi di DUN Sri Tanjung pula mahu menyokong BN memandangkan keluarganya secara tradisi sememangnya penyokong tegar BN.
"Kami bukan ahli MIC. Tapi, keluarga saya secara tradisi undi BN. Jadi, saya akan sokong BN kali ini," katanya pengundi DUN Sri Tanjung itu.
Sinis
Sementara itu, pengundi seperti Rajasegar pula melihat persaingan politik hari ini secara pragmatik tetapi sinis.
"Pada akhirnya semua parti adalah sama.
“Namun pengundi hanya mempunyai pilihan untuk menyokong PH memandangkan tindakan parti-parti lain seperti BN dan PN yang saling bertukar jajaran hanya sekadar untuk kekal berkuasa dan bukannya benar-benar mahu membantu rakyat," katanya.
Dapatan Malaysiakini secara keseluruhannya mendapati ramai pengundi yang enggan mendedahkan identiti turut menyuarakan nada serupa.
Mereka kecewa dengan prestasi PH tetapi pada masa sama tidak menaruh kepercayaan terhadap gabungan pentadbiran BN atau PN.
PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos.





