-
Dikemas kini dengan berita penuh.
Pemuda PKR (AMK) menegur sekutu mereka daripada Umno kerana mengkritik keputusan speaker Dewan Rakyat dalam isu status kerusi anggota parlimen yang mengalihkan sokongan.
Secara khusus, AMK menegur Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana menjadikan speaker Johari Abdul sebagai “beg tinju”.
“Dengan hormat, selama ini beliau sudah salah punching bag, dengan Bersatu sebagai punching bag yang sebenar dan bukannya speaker Dewan Rakyat,” kata Pengarah Komunikasi AMK Haziq Azfar.
Dia juga berkata, sehingga kini, rakyat belum mendengar Akmal mengecam Bersatu yang disifatkannya sebagai “pesalah sebenar yang telah menghuru-harakan undang-undang antilompat parti”.
“Ini bukan berani kerana benar tetapi berani kerana salah,” katanya.
Akmal minggu lepas menyifatkan akta antilompat parti menjadi sia-sia selepas wakil rakyat yang berpaling tadah tidak hilang kerusi.

Dia secara sinis mengucapkan selamat menjahanamkan negara kepada “katak-katak politik”.
Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dikenali akta antilompat parti berkuat kuasa pada Oktober 2022.
Peruntukan itu menyebut bahawa kerusi seseorang angli parlimen itu akan kosong dalam dua keadaan:
(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu.
(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.
Haziq bagaimanapun mengakui ia bukanlah keputusan yang boleh dibanggakan.
Namun, katanya, tindakan menyalahkan Speaker adalah penganiayaan kepada institusi yang hanya menjalankan tugas berpandukan undang-undang sedia ada.





