Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan satu prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov tahun lepas.
AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian tersebut, termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu berkenaan.


“Jabatan ini menerima dan meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia.
“Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan, AGC memutuskan supaya satu prosiding inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593],” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan jabatan itu memandang serius setiap insiden melibatkan kehilangan nyawa dan keputusan untuk mengadakan inkues mencerminkan komitmen jabatan berkenaan bagi memastikan segala fakta dan keadaan diperiksa secara menyeluruh, telus dan bebas.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan dengan adil, profesional serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian pada 24 Nov tahun lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira 4 pagi.

Insiden berkenaan menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.
Pada 26 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M. Kumar berkata kertas siasatan kes tembakan itu dirujuk semula kepada AGC selepas pihaknya selesai melengkapkan beberapa arahan tambahan diminta pihak pendakwaan.





