Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan beberapa alasan bagi menolak dakwaan dia bersikap rasis, termasuk secara berseloroh melibatkan wajahnya sendiri.
Kata Sanusi, ada pelbagai “benda baik” yang dilakukan dan ia tidak diuar-uarkan kepada orang ramai. Malah, katanya, sebahagian daripada usaha baik itu dibuat secara senyap-senyap.
“Depa (mereka) kata kita rasis. Adakah muka aku ni rasis?" katanya dipetik Harakahdaily ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Menteri Besar Kedah itu dikritik kerana ucapannya yang menyebut "orang Cina ada China, orang India ada India, orang Melayu hanya ada Tanah Melayu" sebelum ini. Antara yang tidak senang dengan kenyataan itu ialah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sendiri.
Malah Ahmad Zahid mencadangkan secara sindirian agar Sanusi meluangkan lebih banyak masa di Kedah dan tidak perlu berkempen di Negeri Sembilan.
Sanusi kemudian menjelaskan kenyataan dibuatnya itu bukan bertujuan merendahkan mana-mana kaum, sebaliknya merujuk kepada “fakta sejarah”.
‘Bos’ Sanusi dalam PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menyanggah saranan Ahmad Zahid dengan menegaskan Sanusi tidak dikenakan sebarang larangan atau kekangan, justeru bebas terus berceramah di Negeri Sembilan.
Bagi menepis tuduhan tersebut, Sanusi berkata kerajaan negeri yang diterajuinya setiap tahun menyalurkan bantuan kepada sekolah persendirian Cina.
"Tiap-tiap tahun kita bagi sekolah persendirian Cina RM100,000, RM100,000, RM100,000 untuk bantu mereka.
"Oleh sebab banyak sekolah Cina di Kedah, RM300,000 itu kita bahagikan kepada sekolah-sekolah lain," katanya.
Tak ganggu pesta air
Sanusi turut membangkitkan tindakan kerajaan Kedah membantu menyelesaikan isu tunggakan cukai tanah melibatkan sekolah persendirian Cina di negeri tersebut.
"Hari ini masuk surat khabar, tiga sekolah persendirian tak mampu bayar cukai tanah. Dua sekolah, Sin Min dan Keat Hwa, ada tunggakan cukai tanah RM444,000.
"Sekolah ini bukan berasaskan keuntungan. Walaupun sekolah persendirian, mereka turut menyumbang mendidik anak-anak di negeri dan negara kita menjadi insan berilmu," katanya.
Menurut pemimpin kanan PAS itu lagi, kerajaan Kedah mengambil kira keadaan sekolah berkenaan sebelum memutuskan untuk mengurangkan tunggakan cukai tanah mereka.
"Daripada RM444,000 tunggakan itu, kita hapuskan 90 peratus. Mereka cuma perlu bayar RM44,000. Takkan tak baik macam itu?" soalnya.
Sanusi turut menegaskan Kedah kekal aman dan harmoni walaupun mempunyai masyarakat pelbagai kaum, termasuk dalam kalangan masyarakat Siam yang mempunyai sambutan tersendiri.

Antara perayaan masyarakat Siam itu, katanya, ialah Songkran (tahun baru kalendar masyarakat berkenaan) yang melibatkan pesta air.
“Tiap-tiap tahun orang mandi air, tak ada siapa kacau.
"Mereka boleh sembur air sesuka hati, main gendang dan sebagainya. Kerajaan Kedah tak ganggu. Kedah kekal aman dan harmoni," katanya.
Dia turut mengaitkan keadaan itu dengan corak pentadbiran PN sepanjang enam tahun mentadbir Kedah.
Selain itu, Sanusi berkata Kedah turut mencatatkan prestasi baik dari segi pelaburan dan pengurusan kewangan.
"Bukan sahaja pelaburan tertinggi dalam sejarah berjaya direkodkan sepanjang enam tahun ini, iaitu RM183 bilion di Kedah. Orang asyik kata Pulau Pinang saja pandai memerintah. Kedah pun sama hebat.
"Empat tahun kebelakangan ini bajet kita semuanya lebihan. Yang terbaru lebihan RM48 juta. Kita jaga duit dengan baik, kita jaga rakyat dengan baik," katanya.

Menurut Sanusi lagi, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada pelbagai institusi termasuk sekolah pondok, sekolah agama dan sekolah Cina.
"Kalau sekolah pondok tak mampu kita tolong, sekolah agama tak mampu kita tolong, sekolah Cina tak mampu pun kita tolong.
"Di mana kata kita rasis? Tak betul, mereka (PH) cuma nak bagi orang keliru," katanya.
Sanusi turut menggesa pengundi Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum, supaya tidak menyokong PH.
"Fikir jauh sikit, fikir masa depan," katanya.
Dia turut mendakwa PH hanya memperoleh kelebihan apabila sesuatu isu menjadi tegang.
"PH hanya dapat peluang bila keadaan jadi panas. Sebab itu gelombang mereka merah.
"Kita tidak. Walaupun ditekan dan diasak, kita lawan dengan hujah," dakwanya.





