30.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    15 pegawai, anggota polis ditahan terlibat kes peras ugut ‘scammer’

    Shopee Sale

    Sebanyak 15 pegawai dan anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan membabitkan pemindahan sejumlah wang terhadap sekumpulan individu warga asing, yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata tangkapan menerusi operasi bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki warga asing.

    Beliau berkata dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, mangsa yang juga pengadu berumur 30 tahun bersama dengan dua rakan wanitanya, mendakwa diserbu sekumpulan 12 hingga 15 individu yang memperkenalkan diri sebagai polis pada 24 Julai.

    “Pengadu dan dua rakan wanitanya kemudian dibawa ke IPK Kuala Lumpur atas tuduhan menjalankan aktiviti penipuan dalam talian bagi pasaran tempatan dan China.

    “Semasa berada di IPK Kuala Lumpur, dua pegawai polis didakwa meminta pengadu memindahkan sejumlah wang ke dalam satu akaun yang diberikan untuk mengelakkan daripada ditahan. Pengadu yang ketakutan telah menuruti arahan tersebut sebelum kesemua mereka dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Fadil berkata kesemua 15 pegawai dan anggota polis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas prosedur siasatan awal selesai.

    MENARIK:  Gempa bumi kuat: 'Wake up call' untuk Sabah ambil serius mitigasi bencana

    Susulan siasatan lanjut berhubung aktiviti penipuan dalam talian berkenaan, Fadil berkata sepasukan polis daripada IPD Dang Wangi telah bertindak menahan pengadu lelaki warga Vanuatu bersama dengan dua wanita masing-masing warganegara China dan Thailand, semalam.

    Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati pengadu sebenarnya merupakan warganegara China yang dikehendaki oleh pihak Interpol atas kesalahan penipuan dalam talian, selain memiliki pasport diragui yang mencatatkan tempat lahir di Pontianak, Indonesia, manakala rekod Interpol mengesahkan beliau lahir di China.

    “Pemeriksaan terhadap wanita warga Thailand mendapati dokumen perjalanannya sah dan telah dibebaskan, manakala pengadu dan seorang lagi wanita warga China yang merupakan teman wanita pengadu itu, kini direman selama 14 hari sehingga 9 Ogos bagi siasatan lanjut,” katanya.

    Siasatan ke atas mangsa yang juga suspek penipuan dalam talian itu dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966 serta Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Fadil berkata pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan jenayah, selain menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah