Pelakon Azhan Rani tampil memberi penjelasan berhubung pengalamannya berdepan sikap segelintir rakan artis yang tidak menepati masa ketika menjalani penggambaran.
Isu pengurusan masa

Ketika ditemui , Azhan, 50, memaklumkan hantaran yang dimuat naiknya sebelum ini tercetus selepas dia membaca artikel mengenai seorang menteri di Jepun yang memohon maaf secara terbuka hanya kerana lewat lima minit ke mesyuarat.
Saya baca komen ramai salahkan menteri kita dan membanding-bandingkan. Tapi bagi saya tak perlu bandingkan dengan menteri, bandingkan dengan diri sendiri sahaja lah.
Sebab kadang-kadang kita dengan kawan-kawan pun lambat dan ada juga kita penyebab orang lain menunggu.’
Azhan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs yang bertajuk ‘Ya, Abang Saya Sekuriti’ bertempat di GSC IOI Mall Damansara pada Isnin.
Nasihat untuk diri sendiri

Mengulas lanjut, Azhan turut mengaitkan isu tersebut dengan tahap disiplin diri seseorang individu, khususnya melibatkan pengurusan masa dalam industri lakonan.
Tapi isu menunggu ni relate dengan semua orang tak kisah lah waktu penggambaran, mendaki atau aktiviti riding. Bila aktiviti melibatkan kumpulan, mesti ada yang akan lambat.
Kalau penggambaran, orang kata kalau 10 tahun ibarat lapan tahun menunggu dan hanya dua tahun je berlakon.
Tambah pelakon filem Khunsa itu lagi, nasihat tersebut bukanlah bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya merupakan peringatan dan teguran buat dirinya sendiri.
Sebenarnya ini nasihat untuk diri saya sendiri juga, jangan buat orang menunggu lebih-lebih lagi bila penggambaran yang melibatkan kos dan tenaga orang lain.
Tak kisah pelakon lama atau baharu, sebab kadangkala pelakon senior tak menjanjikan disiplin sepenuhnya dan hanya menunggang perkataan ‘senior’ sebagai ‘lesen’ besar untuk lakukan apa sahaja.
Ada pula pelakon baharu mungkin inginkan keselesaan.
Jadi apa-apa pun niat kita lah, kalau kita hargai pekerjaan tak kisahlah jadi pelakon atau pengawal keselamatan, kita akan buat sepenuh hati.
Terdahulu, di Threads, Azhan meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pelakon, khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran.
Azhan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati masa orang lain, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit seolah-olah tidak rasa bersalah dengan kelewatan yang dilakukan.
The post [VIDEO] ‘Tak Kisah Pelakon Senior Atau Baru, Jangan Buat Orang Lain Menunggu Kita’ – Azhan Rani first appeared on OHBULAN!.





