
Pelakon tampan, Shukri Yahya meluahkan rasa syukur selepas penampilan terbaharu isterinya iaitu Tya Adnan yang berniqab mendapat respon positif daripada peminat.
Akan cuba istiqamah

Ketika ditemui , Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya berkata, dia berharap akan terus istiqamah dan sentiasa menjaga hati isteri dan keluarganya dengan memilih untuk tidak melakonkan babak memegang wanita bukan mahram.
Rasanya dah tak ada saya berlakon pegang tangan (pelakon wanita). Tapi harapnya la saya terus istiqamah, terus menjaga hati isteri saya dan keluarga.
Doakan la juga untuk saya.
Shukri berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem ‘Blood Brothers Bara Naga’ bertempat di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Tak bangga dilabel lelaki setia
View this post on Instagram
Sementara itu, Shukri menganggap pujian yang diterima keluarganya berkemungkinan kerana netizen berasa rindu melihat mereka.
Saya jarang kongsi mengenai keluarga di laman sosial. Jadi, raya lah waktu sesuai untuk saya kongsikan. Bagi saya, pujian itu mungkin sebab orang nak luah rasa rindu nak tengok keluarga saya.
Saya tak anggap pujian itu secara negatif. Selain pujian, ada juga komen yang bagi saya tak perlu komen pun tak apa. Tapi saya okay saja.
Ketika ditanya adakah dirinya berasa bangga dilabel sebagai lelaki paling setia, pelakon drama ‘7 Hari Mencintaiku’ itu tidak melatah sebaliknya dengan pujian yang diberikan.
Saya tak pernah bangga (dilabel sebagai lelaki setia) dan tak anggap ia sesuatu yang bagus pun. Saya sentiasa mengingatkan diri, apa pun saya buat, apa yang saya lakukan, saya akan ingat keluarga.
Saya akan ingat isteri dan anak-anak. Apa pun jadi, apa yang saya buat akan beri kesan kepada keluarga saya. Jadi, saya tak nak perkara itu terjadi.
Terdahulu, perkongsian Shukri sewaktu perayaan Aidilfitri bersama isteri dan anak-anaknya menyorot perhatian netizen yang rata-ratanya teruja melihat penampilan Tya.
Penampilan Tya itu juga membuatkan peminat turut berharap Shukri akan terus menjaga batas pergaulan dengan pelakon wanita ketika berlakon.
Untuk perkembangan terbaharu, Shukri bakal tampil sebagai Fadlan dalam filem terbaharu arahan Syafiq Yusof yang bertajuk ‘Blood Brothers: Bara Naga’ yang bakal ditayangkan di 146 pawagam terpilih bermula esok.





