
Penyanyi Kaka Azraff memilih untuk tidak terlalu berkongsi perihal rumah tangganya kepada umum.
Tidak berkongsi

Ketika ditemui , Kaka atau nama lengkapnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata, dia dan suami Adam Azriff kini menjalani perhubungan yang baik.
Tidak apa yang hendak didedahkan atau ditutup sebab ini tentang hal rumah tangga dan banyak hati yang perlu dijaga. Jadi saya memilih untuk tidak terlalu berkongsi.
Saya rasa tak perlu untuk terlalu kongsi atau uar-uarkan sangat tentang rumah tangga. Cukup orang tahu untuk elakkan fitnah.
Menurut Kaka, setiap rumah tangga pasti akan diuji begitu juga perkahwinannya bersama suami.
Apa yang orang dengar tentang kami mungkin ada perkara yang tidak sahih. Saya pun tak boleh nak mengiyakan atau menidakkan, yang penting sekarang ini kami sudah berbaik dan berkasih sayang.
Saya dan suami baik-baik sahaja dan kami memang tinggal sebumbung. Setiap rumah tangga ada pasang surut, sama juga seperti saya yang baru memasuki tahun ketujuh perkahwinan.
Apabila ujian datang, kita hanya manusia biasa jadi kita perlu memperbaiki diri dan kedua-duanya berusaha untuk mempertahankan perkahwinan.
Kaka berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya 2025 yang berlangsung di Studio 1, Balai Berita Bangsar pada Ahad.
Ambil iktibar

Dalam masa yang sama, pelantun lagu Bukan Hal Aku itu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan menjadikannya lebih matang dalam mengambil tindakan.
Sebenarnya dalam sesebuah perkahwinan, dua hati nak menjadi satu bukanlah satu perkara yang senang. Jadi kena sentiasa bersabar dan bersama. Kita cuba jangan ambil isi dari luar, maksudnya apa-apa pun hanya kita, suami dan anak-anak.
Saya anggap itu adalah ujian buat saya diusia ini. Tetapi ia telah mematangkan dan mendewasakan saya selain membuatkan saya lebih berhati-hati untuk bertindak.
Justeru, ibu kepada tiga orang anak tersebut berharap agar orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya dan keluarga.
Terdahulu, media melaporkan pasangan itu telah sah bercerai talak satu dan pengesahan lafaz cerai itu difahamkan dilakukan secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 28 Oktober lalu.
Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, dan Aryan, 4, dan Atta Adam, 2.
Dalam perkembangan lain, Melodi Raya 2025 akan disiarkan pada 3 April jam 9 malam yang di hoskan oleh Ain Edruce dan Ayda Jebat bagi episod satu. Manakala episod dua dikendalikan oleh Ain bersama Rita Rudaini.
Saksikan persembahan istimewa daripada artis seperti Marsha Milan, Naqiu, Mimi Fly, The Dukes, Nabila Razali, Dato Hattan, Ara Johari dan ramai lagi.





