Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri menegaskan bahawa kekuatan dirinya hari ini terhasil daripada usaha sendiri tanpa bergantung kepada sesiapa, termasuk tidak menggunakan nama ibunya yang juga merupakan tokoh perniagaan terkenal, Bonda Rozita.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Benci Orang Acah Kaya, Tapi Hakikatnya Berhutang & Tak Reti Nak Bayar’ – Aliff Syukri
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Raudhah Merajuk, Aliff Syukri Ajak Pergi Butik Beli Beg Prada – ‘Asyik Kakak Qadeejah Dapat’
Berdiri atas kaki sendiri
Menerusi sebuah podcast bersama di TikTok, Aliff Syukri, 38, berkongsi bahawa prinsip tersebut menjadi pegangan utama dalam perjalanan hidup dan perniagaannya hingga mencapai kejayaan hari ini.
Menurutnya, keputusan untuk tidak membuat pinjaman wang daripada pihak keluarga mahupun pihak bank menjadikan perjalanan tersebut lebih mencabar, namun mempunyai nilai tersendiri dan kepuasan kerana setiap pencapaian diraih hasil usaha sendiri.
Salah satu sebab saya kuat hingga hari ini adalah kerana saya berdiri atas kaki saya sendiri.
Mungkin bagi orang lain, ia agak mencabar kerana untuk memulakan perniagaan perlu membuat pinjaman daripada ibu bapa atau pihak bank.
Tetapi saya memilih untuk bermula dan melangkah dengan kaki saya sendiri.
Itulah realitinya.
Dalam masa sama, Aliff berpendapat selagi seseorang itu tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang, usaha mencari rezeki secara jujur tetap berada di landasan yang betul.
Bagi saya, selagi tidak melakukan perkara yang salah seperti merompak atau mengambil dadah, saya masih berada di landasan yang betul.
Tidak tumpang usaha orang lain

Berkongsi lebih lanjut, selepas lima tahun dia dalam dunia perniagaan, barulah orang ramai mengetahui bahawa dirinya merupakan anak kepada usahawan terkenal itu.
Ujar Aliff lagi, dia percaya kehidupan akan lebih bermakna apabila kejayaan dikecapi hasil titik peluh sendiri tanpa menumpang usaha orang lain.
Ketika saya membina nama sendiri, memang tiada sesiapa yang membantu saya.
Saya juga tidak menggunakan platform atau nama ibu saya.
Selepas lima tahun saya berniaga, barulah orang awam tahu bahawa saya anak kepada Bonda Rozita.
Ini bukti saya tidak menumpang populariti Bonda Rozita, tetapi saya usaha sendiri.
Bagi saya, hidup akan lebih bermakna bila kita berjaya atas tapak kaki sendiri.
Jangan menumpang hasil titik peluh orang lain.
Percayalah pada bakat, pencapaian, dan usaha diri.
Apabila kita berusaha dan mengasah bakat sendiri, bukan meniru atau bergantung pada orang lain maka kejayaan itu akan mempunyai nilai yang jauh lebih bermakna.
Mengulas mengenai dunia keusahawanan dan kandungan digital masa kini, Aliff berpandangan bahawa ramai hanya pandai bercakap tanpa pengalaman sebenar, sedangkan perniagaan menuntut kebolehan menyampaikan, bukan sekadar kata-kata kosong.
Sebab itu, bila kita melihat kisah keusahawanan daripada seseorang yang tidak pernah melalui sendiri detik yang sukar, dia hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu menyampaikan dan perasaannya memang berbeza.
Sekarang ini, ramai yang sekadar bercakap kosong tanpa membuktikan apa-apa.
Hakikatnya, perniagaan bukan sekadar bercakap, tetapi tentang kemampuan dalam menyampaikan dan melaksanakan.
Dunia content adalah dunia tipu-tipu.
Sebab kita boleh membentuk diri sendiri untuk menjadi apa sahaja yang kita mahu.
Viewers pula memang sukakan drama, dan media sosial sememangnya sarat dengan elemen tersebut.
Jadi, terpulang kepada diri kita, kerana kita adalah pengarah kepada kehidupan dan imej kita sendiri di media sosial.
Sumber: TikTok
The post [VIDEO] ‘Saya Berdiri Atas Kaki Sendiri, Selepas 5 Tahun Berniaga..Baru Orang Tahu Saya Anak Bonda Rozita’ – Aliff Syukri first appeared on OHBULAN!.





