
Usahawan kosmestik dan jurusolek artis terkenal iaitu Datuk Seri Alha Alfa menempelak seorang netizen yang mengeluarkan komen berbaur fitnah terhadap konten terbaharu yang dimuat naiknya di TikTok.
Sentuhan magis buat Ellie Suriaty
Menerusi hantaran terbaharu tersebut, Alha atau nama sebenarnya Abdul Al Halim Al Fadzil berkongsi video dirinya menata rias pelakon dan pengarah terkenal iaitu Ellie Suriaty.
Dapat dilihat Alha menggunakan elemen solekan ‘wedding look’ untuk menaikkan lagi seri wajah pelakon yang popular menerusi drama ‘Laila Manja’ itu.
Walau bagaimanapun, terdapat satu komen kurang enak dikeluarkan oleh seorang netizen yang mendakwa Alha seakan mengambil kesempatan di atas kontroversi melibatkan Ellie dan pempengaruh terkenal, Imran Bard.
‘Jadi halal tak dia (Ellie) dapat job atas video Imran Bard itu?’ – Komen netizen.
Alha tempelak netizen
Tidak berdiam diri, Alha tampil memberikan hantaran balas terhadap komen yang ditinggalkan individu tersebut.
Ujar Alha, video bersama Ellie sudah lama dirakam sebelum tercetusnya kontroversi melibatkan pelakon itu bersama Imran.
Tambah Alha, dia juga tidak gemar mengambil kesempatan dengan melakukan konten atas isu-isu tular yang berlaku di media sosial.
Terdahulu, isu melibatkan Ellie dan Imran Bard bermula selepas pelakon itu menuntut permohonan maaf daripada pempengaruh berkenaan termasuklah ibu bapanya kerana mendakwa sudah mencalarkan namanya menerusi dua hantaran di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie atau nama sebenar, Ellie Suriaty Omar dilapor kecewa dengan tindakan Imran apabila didakwa memperlekeh reputasi yang dibina lebih tiga dekad sebagai anak seni.
Imran kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram Story (IGs).





