Dulu, sebuah lagu boleh mengambil masa berminggu-minggu sebelum benar-benar melekat di telinga pendengar. Drama pula mungkin perlu beberapa episod sebelum mula diperkatakan.
Hari ini, semuanya seperti perlu berlaku lebih pantas, kalau tidak muncul di TikTok, tidak masuk FYP atau tidak mempunyai sound yang digunakan ribuan orang, mudah sahaja sesebuah karya dianggap tidak menjadi.
Laporan Music Impact Report 2025 yang diterbitkan TikTok bersama firma data hiburan Luminate mendapati 84 peratus lagu yang memasuki Billboard Global 200 sepanjang 2024 mengalami tempoh engagement tinggi di TikTok terlebih dahulu.
Kajian sama turut mendapati artis yang mempunyai hubungan lebih kuat antara engagement TikTok dan streaming mencatat pertumbuhan streaming mingguan lebih tinggi berbanding artis lain.
Setahun kemudian, pengaruh itu masih jelas apabila TikTok melaporkan lapan daripada 10 lagu yang menduduki tempat pertama Billboard pada 2025 mempunyai detik viral di platform itu terlebih dahulu.
Jadi, memang sukar untuk menafikan kuasa viral. Namun persoalannya, adakah semua yang tidak viral semestinya tidak berjaya? Dan lebih membimbangkan, adakah industri mula terlalu cepat menyamakan angka di media sosial dengan nilai sesebuah karya?
Artikel Berkaitan: Antara Algoritma & Nilai Seni, Kenapa Lagu Viral Belum Tentu Terbaik Di AJL?
Artikel Berkaitan: Bukan AJL Yang Hilang Relevan, Mungkin Cara Kita Menikmati Muzik Yang Sudah Berubah
Bila ‘Viral’ Jadi Jalan Paling Cepat Untuk Ditemui
Dari perspektif pemasaran, TikTok menawarkan sesuatu yang sukar diberikan media tradisional iaitu peluang untuk sebuah lagu sampai kepada jutaan orang tanpa pendengar perlu mengenali penyanyinya terlebih dahulu. Satu chorus, gerakan tarian atau bait lirik yang tepat boleh menjadi pintu masuk kepada keseluruhan lagu.
Kita sudah melihat bagaimana Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam bukan sahaja menjadi trend tarian di media sosial, malah menembusi radio, pusat beli-belah dan bazar Ramadan. Fenomenanya turut sampai ke luar Malaysia apabila artis serta kumpulan tarian antarabangsa menyertai trend lagu tersebut. Video muziknya pula menghampiri 50 juta tontonan YouTube ketika Malay Mail mengimbas fenomena lagu itu setahun selepas dilancarkan.
Di peringkat serantau pula, fenomena lagu seperti Stecu Stecu dan Tabola Bale menunjukkan bagaimana FYP mampu membawa muzik dari satu wilayah kepada audiens yang jauh lebih besar. Tabola Bale, misalnya, bukan sekadar digunakan jutaan kali di TikTok tetapi berkembang menjadi fenomena yang turut menembusi YouTube dan acara berskala nasional di Indonesia.
Tetapi Viral & Hit Bukan Perkara Yang Sama
Masalahnya timbul apabila kedua-duanya mula dianggap sinonim. Sebuah video boleh mendapat berjuta-juta tontonan kerana trend, meme, kontroversi atau satu bahagian tertentu yang catchy. Tetapi itu tidak semestinya bermaksud orang mendengar keseluruhan lagu, mengenali artisnya atau masih mahu mendengarnya enam bulan kemudian.
Begitu juga dengan filem dan drama. Satu babak boleh berlegar di TikTok sehingga semua orang mengenali dialognya, tetapi berapa ramai benar-benar menonton karya tersebut dari awal hingga akhir?
Di sinilah kita perlu membezakan antara attention dan connection. Viral menghasilkan perhatian dengan sangat pantas. Hit pula selalunya memerlukan sesuatu yang lebih besar iaitu membuatkan pendengar kembali kepada lagu itu, penonton mengikuti karya, artis membina fanbase dan karya terus hidup selepas trend asal sudah berakhir.
Malah, perdebatan mengenai kebergantungan industri muzik kepada TikTok bukan perkara baharu. Artis antarabangsa sebelum ini pernah bersuara mengenai tekanan untuk menghasilkan kandungan TikTok sebagai sebahagian promosi muzik, sementara pemerhati industri turut mempersoalkan sama ada terlalu mengejar virality boleh menyebabkan karya dibentuk mengikut keperluan algoritma.
Bila Lagu Dibikin Untuk ‘15 Saat’ Yang Sempurna
Di sinilah kesannya terhadap kreativiti mula menjadi lebih menarik untuk diperhatikan. Apabila industri tahu satu potongan pendek boleh menentukan sama ada sebuah lagu mendapat perhatian atau tidak, secara tidak langsung muncul tekanan untuk menghasilkan momen yang mudah dipotong, mudah dihafal dan mudah dijadikan trend.
Intro perlu cepat. Hook perlu sampai awal. Lirik perlu ada satu baris yang boleh dijadikan caption. Mungkin juga perlu ada bahagian yang sesuai dibuat tarian. Tidak ada salahnya menghasilkan lagu yang catchy. Muzik popular memang sejak dahulu bergantung kepada hook yang kuat.
Tetapi ia menjadi masalah jika ‘boleh viral tak?’ menjadi soalan lebih penting daripada ‘lagu ini bagus tak?’ Kebimbangan serupa boleh dilihat dalam perbincangan mengenai lagu Raya moden.
Pada Mac lalu, beberapa penggiat muzik tempatan membangkitkan persoalan mengenai lagu perayaan yang mudah dan catchy di media sosial tetapi sukar menghasilkan hubungan emosi serta jangka hayat seperti karya klasik terdahulu.
Ini tidak bermakna lagu lama sentiasa lebih bagus. Sebaliknya, ia menunjukkan satu perkara, menarik perhatian dan kekal dalam ingatan adalah dua pencapaian yang berbeza.
Karya Yang Perlahan Tidak Semestinya Gagal
Budaya viral juga membawa satu lagi risiko iaitu industri mungkin terlalu cepat membuat keputusan. Lagu yang tidak ‘meletup’ seminggu selepas dilancarkan dianggap kurang menjadi.
Drama yang tidak trending selepas episod pertama mula dipersoalkan. Artis baharu yang engagement media sosialnya rendah boleh kelihatan kurang menarik berbanding mereka yang sudah mempunyai jutaan pengikut.
Sedangkan dalam sejarah muzik sendiri, bukan semua karya menjadi fenomena dalam tempoh 24 jam. Ada lagu yang membesar kerana radio. Ada yang mula dikenali selepas persembahan secara langsung. Ada yang menemui audiens melalui filem atau drama.
Malah TikTok sendiri membuktikan sebuah lagu tidak mempunyai tarikh luput untuk viral. Sepanjang 2025, lagu lama seperti Pretty Little Baby oleh Connie Francis, Breakin’ Dishes oleh Rihanna dan Let Down oleh Radiohead kembali menemui generasi pendengar baharu menerusi platform tersebut.



Siapa yang lagi kecanduan sama lagu “Stecu” dari @farisssadammm Faris Adam? Lagu berbahasa Indonesia Timur yang super catchy ini lagi viral banget di media sosial! Dirilis pada 5 Maret 2025, video musiknya sudah ditonton lebih dari 18 juta kali dan terus bertambah! Lagu “Stecu” ini diproduksi oleh @rpvlrecord dan ditulis oleh @faridegall.id Video musiknya digarap oleh @akzaentertaiment dengan konsep yang segar dan menghibur. Faris Adam berhasil membawakan lagu ini dengan gaya khasnya yang enerjik dan penuh pesona. Buat kamu yang lagi PDKT sama gebetan yang “stecu”, lagu ini cocok banget buat kamu! Siapa tahu dengan dengerin lagu ini, gebetan kamu jadi luluh dan nggak “stecu” lagi. #betastory14 #tampamusic #liriklagu #laguviralterbaru #coverlagu #trending #fyp #stecu #farisadam #lagutiktokviral 

