Tidur yang cukup sering dianggap perkara biasa, namun bagi individu yang bekerja mengikut jadual tidak menentu, mendapatkan rehat berkualiti bukanlah sesuatu yang mudah.
Waktu penggambaran yang berpanjangan, panggilan kerja seawal pagi dan fikiran yang masih aktif selepas tamat bekerja boleh menyebabkan rutin tidur seseorang terganggu.
Situasi ini juga pernah dilalui oleh pelakon Kamal Adli sepanjang perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Kamal Adli Belajar Minta Maaf Kepada Diri Sendiri, Akui Mental & Tubuh Dah Penat – ‘Saya Seorang Yang Gagal Sebagai Manusia, Ketua…’
Artikel Berkaitan: Kamal Adli Teruja Temani Anak Ke Playschool, Terkilan Terlupa Ambil Gambar – ‘Ibu Hawra Pun Ada Juga’
Alami susah tidur atau Insomnia
Dalam segmen #ThrowbackXTRA minggu ini bersama pelakon, Kamal Adli yang mengimbau kembali detik sukar sepanjang dirinya bergelar seorang aktor adalah kesukaran untuk tidur atau insomnia.
Menurut Kamal, rutin kehidupannya mula berubah selepas bergelar pelakon, terutama apabila waktu bekerja yang tidak menentu menyebabkan jadual tidurnya menjadi tidak teratur.
Saya ada masalah tidur yang teruk juga. Saya susah nak tidur sejak saya mula dalam industri.
Bila saya mula berlakon, waktu tidur saya dah tak betul. Pukul tiga atau empat pagi masih tak tidur lagi, memang tak boleh tidur.
Walaupun tidak mendapat rehat yang mencukupi, Kamal tetap akan menjalankan tanggungjawabnya sekiranya mempunyai komitmen kerja pada awal pagi.
Malah, dia akan memastikan dirinya bangun dan hadir bekerja seperti biasa biarpun hanya sempat tidur dalam tempoh yang singkat.
Kalau ada kerja pukul 8 pagi, saya akan tetap bangun dan bekerja. Itu memang masalah saya. Saya cuba untuk tidur, tetapi memang tak boleh.
Kamal turut mengakui sudah mencuba beberapa cara untuk mengatasi masalah berkenaan, termasuk mengambil ubat tidur. Namun, usaha tersebut dikatakan masih tidak banyak membantu.
Kadang-kadang orang kata cuba sahaja tidur atau makan segala ubat tidur, tetapi tetap tak berjalan.
Kamal yang juga merupakan pengacara baru bagi program Melodi TV3 itu turut berpendapat kesukaran untuk melelapkan mata mungkin berpunca daripada fikirannya yang sentiasa aktif, terutama apabila terlalu banyak perkara bermain dalam kepala.
Mungkin sebab otak saya tengah bergerak dan terlalu banyak berfikir.
Pengakuan tersebut memperlihatkan sisi lain kehidupan seorang anak seni yang jarang diketahui umum.
Di sebalik penampilan ceria dan komitmen yang ditunjukkan di hadapan kamera, jadual kerja tidak menentu turut boleh memberi kesan terhadap rutin harian dan waktu rehat mereka.
The post #ThrowbackXTRA: Otak Tak Berhenti Berfikir, Kamal Adli Bertahun-Tahun Bergelut Dengan Masalah Tidur first appeared on OHBULAN!.





