Gabriel Tardio dan Jessie Irvine mencuri tumpuan pada Kejohanan Piala PPA Asia 1000 Leapmotor Kuala Lumpur 2026 selepas masing-masing menyapu bersih dua pingat emas dalam aksi kemuncak yang berlangsung ibu kota pada Isnin.
Artikel Berkaitan: Media Prima Dilantik Rakan Media Rasmi PPA Asia 1000 Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026
Artikel Berkaitan: Noe Khlif & Kaitlyn Christian Antara Jaguh Dunia Gegar Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026
Menang

Kejohanan berprestij itu melabuhkan tirainya secara dramatik dengan menyaksikan penentuan lima gelaran juara, didahului gandingan mantap Irvine dan Tardio dalam acara beregu campuran.
Irvine dan Tardio mementaskan kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 2-7 pada set penentuan untuk menundukkan gandingan Danni-Elle Townsend-Joey Wild 5-11, 11-3, 12-10, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kedua-dua pemain berkenaan.
Momentum cemerlang itu diteruskan Tardio dalam saingan beregu lelaki bersama pasangannya, Noe Khlif. Gandingan tersebut tampil dominan apabila berjaya menjinakkan pilihan kedua kejohanan, Augustus Ge-Len Yang dengan keputusan ‘straight set’ 11-9, 11-4.
Kejayaan itu mengunci penampilan sulung yang sempurna buat Tardio di bumi Malaysia dengan koleksi dua pingat emas.
Sementara itu, Irvine turut mengesahkan statusnya selaku ratu beregu apabila memenangi emas keduanya menerusi acara beregu wanita bergandingan bersama Alix Truong.
Meskipun tersentak tewas pada set pembukaan, gandingan Irvine-Truong bangkit bergaya menundukkan Sahra Dennehy-Danni-Elle Townsend 5-11, 11-5, 11-6.
Dalam saingan perseorangan lelaki, pemain muda sensasi berusia 15 tahun dari Jepun, Tama Shimabukuro, terus mempamerkan belang apabila menewaskan Noe Khlif 11-8, 11-5.
Kemenangan bertenaga itu merupakan mahkota perseorangan kedua buat Shimabukuro di pentas Asia selepas merangkul kejuaraan di Terbuka Macao, Mei lalu.
Bagi acara perseorangan wanita pula, pilihan utama kejohanan, Kaitlyn Christian, membuktikan statusnya dalam kelas tersendiri selepas menewaskan Brooke Buckner 9-11, 11-4, 11-5.
Kejayaan tersebut melengkapkan rekod hatrik kemenangan Christian ke atas Buckner sekali gus mengesahkan kejuaraannya di Kuala Lumpur.
Selepas berakhirnya saingan di Kuala Lumpur, Jelajah PPA Asia (PPA Tour Asia) bakal beralih ke pentas lebih besar menerusi kejohanan Hang Seng Bank Hong Kong Slam (PPA Asia 1500) yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober depan di Kai Tak Arena, Hong Kong.
The post Tardio, Irvine Bolot Emas Pada Kejohanan Pickleball PPA Asia KL first appeared on OHBULAN!.





