Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran dan Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel tampil menjelaskan pemilihan pelakon, Nur Fazura sebagai wajah kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya Jakel 2026.
Artikel Berkaitan: Kejutan! Fazura Diumum Sebagai Wajah Kolaborasi Eksklusif Fenomena Raya 2026
Artis rekod bersih

Muzaffar atau mesra disapa MJ menegaskan, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan profesional dan bukan bertujuan melagakan mana-mana pihak seperti yang didakwa susulan timbul pelbagai spekulasi.
Sebenarnya kami melamar semua artis yang kami rasakan mempunyai rekod peribadi yang bersih dan tidak terpalit dengan sebarang masalah.
Tiada sebarang niat untuk melagakan mana-mana pihak. Saya dan pasukan buat ini adalah semata-mata untuk kempen Jakel.
Pemilihan Fazura bukan sebagai duta, tetapi kontrak sebagai kolaborasi eksklusif Koleksi Raya 2026. Pihak kami menyediakan reka bentuk, namun idea keseluruhan datang daripada Fazura sendiri.
Kami juga tiada sebarang niat memilih Fazura dengan tujuan mahu mencetuskan isu.
Dalam pada itu, Muzaffar memaklumkan perbincangan mengenai kolaborasi bersama Fazura telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu dan bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.
Perbincangan telah dibuat sejak tujuh atau lapan bulan lepas. Ada juga duta sebelum ini yang menyambung kerjasama dan ada juga yang tidak. Ini bukan soal balas dendam atau apa-apa niat lain.
Mengulas mengenai isu pelakon Fattah Amin yang sebelum ini merupakan duta Jakel dan kini dikaitkan dengan jenama lain, Muzaffar menegaskan perkara itu merupakan rezeki masing-masing dan tidak seharusnya dipolemikkan.
Itu sudah menjadi rezeki dia, bukan saya boleh ikat dia. Terpulang kepadanya. Selebriti ini akan sentiasa ada yang datang dan pergi.
Untuk tahun ini, Jakel juga memilih lebih ramai selebriti termasuk memperkenalkan koleksi bersama duta Gen Z.
Terdahulu, Fazura diumumkan sebagai wajah kolaborasi eksklusif koleksi raya 2026 oleh jenama tekstil dan fesyen terkemuka tanah air, Jakel.
Susulan pengumuman itu, ada pihak yang mendakwa Jakel sengaja mengambil kesempatan memandangkan tahun lalu jenama itu memilih bekas suami aktres berkenaan iaitu aktor Fattah Amin sebagai duta.
The post Pemilihan Fazura Bukan Untuk Balas ‘Dendam’ – ‘Tiada Niat Melagakan, Perbincangan Dibuat Lapan Bulan Lepas’ first appeared on OHBULAN!.





