
Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan dia sanggup melabur ratusan ribu ringgit demi menghasilkan video muzik (MV) lagu duet raya, ‘Tum Tum Raya’ bersama kakaknya, Ieda Zikir.
Jumlah angka dirahsiakan

Menurut Shiha, Tum Tum Raya menjadi video muzik termahal yang pernah dihasilkan sepanjang dalam karier.
Kata pelakon berumur 38 tahun, dia dan kakaknya berhabis tenaga dan masa untuk menyiapkan video yang diimpikan.
Ini antara video muzik termahal yang pernah dihasilkan. Banyak usaha kami dah letak untuk jayakan video muzik ‘Tum Tum Raya’ dan salah satu cabaran yang susah.
Antaranya rentak tarian yang pelbagai. Ada yang laju, ada yang perlu gerakan slow motion.
Sekitar 50 peratus gerakan yang sangat perlahan bukan satu benda yang senang sebab menari kena perlahan sambil mulut menyanyi.
Mula penggambaran dari pukul 8 pagi dan berakhir jam 6 pagi keesokannya, alhamdulillah hasilnya saya dapat apa yang saya mahukan.
Shiha dan Ieda ditemui ketika majlis pelancaran lagu, Tum Tum Raya di Red Box Karaoke The Gardens, pada Selasa.
Tarian ligat

Ditanya mengenai dakwaan tiada nilai sopan santun, Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd. Zikir memohon maaf atas tindakannya menari ligat yang telah menimbulkan rasa kurang senang.
Namun katanya, dia hanya ingin menyuntik elemen komedi dalam video muzik selain menekankan mereka langsung tidak melebih lebih.
Minta maaf kalau ada yang tidak selesa, niat saya cuma mahu hiburkan orang dengan bawa perwatakan sendiri.
Lagu-lagu raya sebelum ini saya terapkan unsur biasa tetapi tahun ini saya selitkan elemen komedi.
Tidak melebih-lebih sampai melampau, cuma tarian sahaja yang ligat bagi menampakkan perbezaan tenaga saya dan kakak.
Tiada niat apa pun, cuma yang kenal akan tahu perangai saya. Orang tidak mengenali sisi peribadi saya yang mempersoalkan tujuan saya berbuat demikian.
Dalam pada itu, Shiha menyatakan dia tidak terasa dengan komen negatif sebaliknya berlapang dada menerima setiap teguran.
Pada 5 Mac lalu, Shiha dan Ieda melancarkan lagu raya baharu berjudul ‘Tum Tum Raya’ hasil ciptaan Ajay Amai dan Napie Hassan.
Video muzik ‘Tum Tum Raya’ turut mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya pasar raya Giant Malaysia, Kimball & SF Biscuit.





